PENYERANG hoki remaja lelaki kebangsaan, Shafiq Ammar Fahmi Suzaini, tidak mahu cepat selesa dengan pencapaian semasa, selepas muncul penjaring terbanyak dalam siri Jelajah Jepun.
Shafiq Ammar, 20, semalam menjaringkan gol buat kali ketiga berturut-turut ketika membantu Young Tigers mencatat kemenangan 2-0 ke atas Jepun bawah 21 tahun (B21) dalam aksi terakhir di Gifu Jepun.
Secara keseluruhan, ia adalah gol ketiga penyerang muda TNB Thunderbolts itu di Jepun sekali gus meningkatkan peluang untuk berada dalam Young Tigers ke Piala Remaja Asia 2026 di Moqi, China pada 4 hingga 13 September nanti.
“Perasaan saya sangat gembira bantu pasukan dan balas kepercayaan jurulatih yang memberikan saya peluang bermain. Setiap jaringan saya memberikan semangat untuk saya terus bermain sepanjang perlawanan.
“Banyak perkara baru saya belajar di sini, contohnya kami satu pasukan perlu cepat menyesuaikan diri dengan permainan Jepun yang sangat laju supaya kami dapat memberikan saingan kepada mereka.
“Sebagai penyerang, setiap perlawanan saya sasar untuk jaringkan gol dan saya akan usaha cari peluang untuk lakukannya. Harapan saya menuju Piala Remaja Asia nanti, saya nak pelbagaikan lagi corak jaringan saya,” katanya.
Walaupun Ketua Jurulatih Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, turut memuji prestasi Shafiq Ammar, namun beliau percaya masih ada banyak lagi peningkatan yang boleh ditunjukkan penyerang muda itu.
“Tahun lepas kita tengok Shafiq Ammar ada potensi semasa Piala Dunia Remaja tetapi tak begitu menjadi. Namun, tahun ini nampak banyak peningkatan terutama dalam Jelajah Jepun kali ini.
“Namun, dia masih belum bersedia 100 peratus untuk terajui jentera serangan tetapi boleh Nampak dia ada potensi dalam kesebelasan utama. Jelajah ini ujian yang sangat bagus dan dia berjaya hasilkan tiga gol,” jelasnya.
Piala Remaja Asia 2026 nanti amat penting buat Shafiq Ammar untuk memastikan Young Tigers layak ke Piala Dunia Remaja 2027, sekali gus mengikut jejak dua abangnya yang pernah beraksi di pentas tertinggi itu.
Dua abangnya iaitu Shafiq Ikhmal Daniel pernah bermain di Piala Dunia Remaja 2023 dan Shafiq Adam Harriss beraksi sewaktu Piala Dunia Remaja 2025.