CESAR Azpilicueta akhirnya meninggalkan Stamford Bridge selepas lebih sedekad bersama kelab elit England itu.
Pemain kelahiran Sepanyol yang berkhidmat selama tempoh 11 tahun di Chelsea, mengakhiri kenangannya di utara London selepas pemain pertahanan Sepanyol mengesahkan menyertai Atletico Madrid.
Azpilicueta membuat 508 penampilan bersama The Blues, memenangi sembilan trofi, termasuk Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Liga Europa, Piala Dunia Kelab, Piala FA dan Piala Liga.
“Cesar seorang wira, juara dan legenda yang meninggalkan legasi di Chelsea kerana kesetiaannya.
“Dia mencipta standard di kelab ini selama lebih satu dekad dan menunjukkan apa yang diperlukan hari demi hari untuk meraih kejayaan,” kata pengerusi Chelsea, Todd Boehly dan pemilik bersama, Behdad Eghbali dalam satu kenyataan.

Cesar Azpilicueta kembali ke tanah air, beraksi bersama Atletico Madrid. -Pix Agensi
Azpilicueta memenangi gelaran Liga Perdana di bawah bimbingan Jose Mourinho dan Antonio Conte, menjadi kegemaran penyokong kerana etika kerja dan kesanggupannya diletakkan di posisi berbeza.
Bagaimanapun, dia meninggalkan Chelsea ketika kelab itu berada di tahap prestasi yang suram apabila kelab terbabit menduduki tempat ke-12 dalam Liga Perdana sekali gus kedudukan terendah mereka sejak 1994.

Pernah menjulang beberapa trofi di Stamford Bridge… namun Cesar Azpilicueta meninggalkan kelab itu ketika The Blues menamatkan Liga Perdana di kedudukan ke 12. Pix Agensi
“Sukar untuk meluahkan dengan kata-kata apa yang saya rasai ketika ini. Luar biasa…. Terima kasih kepada semua pihak kerana ia tidak mungkin berlaku tanpa bantuan orang sekeliling,” kata Azpilicueta dalam video yang disiarkan di akaun media sosial Chelsea.
Pemain berusia 33 tahun itu, menyertai Chelsea dari Marseille dan memulakan kariernya bersama Osasuna, menandatangani kontrak setahun bersama kelab Sepanyol, Atletico.
“Cesar Azpilicueta ialah pemain baharu Atletico Madrid selepas persetujuan dicapai antara kelab dan pemain dari Navarra itu yang akan menandatangani kontrak selama setahun,” kata Atletico dalam satu kenyataan. -Agensi