BEKAS penyerang Kedah, Faridzuan Che Hamid berpendapat rentak permainan diterapkan pemain Sang Kenari belum lagi menunjukkan karektor sebenar seperti dimahukan Nafuzi Zain.
Perlawanan sulung di Ipoh, Kedah Darul Aman (KDA) FC menang besar 4-1 sebelum menundukkan Terengganu hasil gol tunggal Fadzrul Danel Nizam.
Lawan seterusnya yang bakal dihadapi skuad KDA FC pada malam ini adalah berdepan PDRM FC di Alor Setar.
“Pada saya, tengok masa perlawanan kedua tempoh hari nampak macam pasukan KDA FC tak settle down lagi. Masih banyak ruang yang perlu diperbetulkan dan diperkemaskan.
“Kita tengok pula aksi ketiga nanti. Untuk lawan PDRM FC saya rasa tiada apa yang bahaya buat KDA, cuma harus lebih awal settel down. Insya Allah KDA boleh meraih keputusan positif.
“Masa jumpa Terengganu, peluang mereka lebih baik tapi tak digunakan dengan betul.
“Kedah pula ada satu peluang yang patut masuk tapi Lee Tuck tak pandai guna kelebihan. Mujur kesilapan pemain pertahanan Terengganu yang buka ruang kepada Kedah untuk jaringkan gol.
“Janji Kedah dapat tiga mata dulu. Begitu juga semasa di Ipoh, KDA FC pun tak dapat rentak awal. Hanya apabila Perak FC hilang dua pemain barulah mereka boleh susun permainan,” katanya pernah bergandingan dengan Peter Niekietien dan Jan Janostak ketika zaman kegemilangannya bersama Kedah pada awal era 1990-an.
Sementara itu, dia yang kini berusia 52 tahun percaya bakat dimiliki pemain muda Fadzrul Danel Nizam boleh terus digilap jika kerap membarisi kesebelasan utama skuad Nafuzi.
Anak jati Pulau Tuba, Langkawi itu juga optimis KDA mampu bergelar antara pasukan digeruni lawan jika tampil permainan menghiburkan dan sentiasa bernafsu memburu gol dalam setiap perlawanan.
Pencapaian terhebat Faridzuan adalah memenangi Piala Malaysia tahun 1993 dan menyarung jersi kebangsaan selama beberapa musim.