TUMPUAN peminat futsal tanah air bakal terarah ke Stadium Tertutup SUKPA, apabila venue tersebut menjadi tuan rumah bagi enam aksi Kumpulan G, Kelayakan Piala Asia Futsal Indonesia 2026 dari 20-24 September ini.

Sinonim sebagai The Home of Pahang Rangers, SUKPA sebelum ini ditutup untuk penambahbaikkan setelah berakhirnya saingan Malaysia Futsal Cup.

Selepas lebih sebulan penantian, ia kini bersedia sepenuhnya menyambut perlawanan bertaraf antarabangsa dan menyajikan pengalaman futsal yang pastinya tidak dapat dilupakan.

Menambah keterujaan, gergasi futsal Asia yang juga pasukan di ranking kelima dunia, Iran akan merasmikan gelanggang berwajah baharu ini apabila turun menentang Bangladesh pada 20 September sekaligus menjanjikan pembukaan penuh berprestij.

Menyusul selepas itu, pertembungan yang dinanti penyokong, di antara skuad kebangsaan Malaysia kendalian Rakphol Sainetngam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berikut jadual penuh aksi Kumpulan G:

Tiket bagi perlawanan Kumpulan G, telahpun mula dijual di laman sesawang tickethotline, pada harga RM35 (18 tahun ke atas) dan RM15 (5 hingga 17 tahun) bagi satu perlawanan.

Untuk makluman, Iran hadir dengan reputasi sebagai juara bertahan Piala Asia, dan turut memegang rekod sebagai pasukan paling berjaya dalam sejarah pertandingan dengan 13 kejuaraan.

Harimau Malaya kali terakhir layak ke Piala Asia pada 2018 di Taiwan manakala penampilan terakhir UAE pula adalah pada 2012.

Sebanyak 16 pasukan akan berentap di pusingan akhir di Jakarta pada Januari 2026 dengan Indonesia sudahpun mengesahkan tempat atas tiket tuan rumah.

Baki 15 slot akan diisi lapan juara kumpulan, dan tujuh naib juara terbaik di pusingan kelayakan sekaligus menjadikan setiap aksi di SUKPA penuh debaran.

SUMBER: Muhammad Aiman