PENGENDALI pasukan Selangor FC, Tan Cheng Hoe akui tidak mudah untuk mengalahkan Kedah Darul Aman FC namun tetap berpuas hati kerana anak buah masih beraksi cemerlang dalam mengharungi perlawanan yang sukar.

Cheng Hoe juga memuji kesungguhan skuad Gergasi Merah yang berjaya menewaskan Kedah FC 3-2 pada perlawanan Liga Super 2023 malam tadi sekali gus mematahkan setiap cubaan gol dari anak buah Nafuzi Zain.

“Saya rasa dalam perlawanan tersebut pemain telah menunjukkan karakter dan juga semangat dan seharusnya kepujian perlu diberikan kepada mereka kerana menunjukkan karakter berjuang habis-habisan demi mendapatkan kemenangan.

“Gol-gol yang berjaya dibolosi juga adalah disebabkan kekurangan konsistensi dan kita juga tahu KDA FC mempunyai barisan hantaran yang mengerikan pasukan kita.

“Skuad perlu menunjukkan kekuatan dari bahagian pertahanan serta menunjukkan satu karakter dalam pemainan kerana dari situ boleh menentukan pasukan boleh menang pada sesuatu perlawanan,” katanya dalam sesi sidang media.

Selain itu, melihat kepada rentak permainan skuad Gergasi Merah pada malam tadi, Cheng Hoe menekankan ianya adalah satu persembahan terbaik yang ditunjukkan memandangkan KDA FC juga bermain dengan baik berikutan mempunyai bahagian serangan serta kombinasi yang bahaya.

Dia menekankan, hal itu boleh dilihat apabila cubaan KDA FC yang nyaris gol pada minit-minit terakhir perlawanan juga boleh mengakibatkan Selangor FC kehilangan dua mata yang cukup bermakna buat pasukannya.

Dalam masa yang sama, perlawanan pada malam tadi turut memberikan pengalaman pada anak buahnya yang perlu diberikan peluang mendepani situasi ‘tough match‘ supaya kemenangan yang diraih memberikan mereka keyakinan dalam mengharungi perlawanan lain akan datang.

“Dalam situasi perlawanan tersebut, setiap pemain harus diberikan peluang untuk mereka ‘move out‘ ke langkah seterusnya mendepani perlawanan besar.

“Kita akan nampak ‘kesilapan individu yang dilakukan pemain Selangor FC kerana tekanan yang ada sedikit sebanyak menjadikan mereka membuat kesilapan namun sebagai jurulatih saya sentiasa berikan mereka sokongan dan keyakinan,” jelasnya.

Mengulas lanjut kedudukan Selangor FC yang kini berada di tempat kedua dengan 28 mata, Cheng Hoe masih berpuas hati namun perlu memperbaiki pasukan dari banyak hal dalam memastikan pemain individu serta pasukan mampu mengawal perlawanan besar dengan baik.

“Setiap pemain perlu mengawalnya dengan baik kerana kami barisan jurulatih mahu lihat mereka bermain ‘under pressure‘ dengan tenang dan mengawal setiap gerakan pihak lawan sekaligus menguasai perlawanan tersebut.

“Banyak lagi kita perlu perbaiki dari segi pemain individu serta pasukan dan kami barisan jurulatih tak boleh berhenti demi masa depan setiap pemain,” tambahnya lagi.