SELANGOR FC dilihat sudah selangkah ke separuh akhir MFL Challenge Cup selepas membenam cabaran Kelantan Darul Naim FC 1-5 dalam aksi suku akhir di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Dua gol masing-masing dari Ronnie Fernandes dan Mukhairi Ajmal serta satu jaringan Quentin Cheng memastikan Gergasi Merah selesa dengan kelebihan empat gol menjelang aksi timbal balik selepas ini.

Seperti kebiasaan, Selangor tidak menunggu lama untuk di hadapan apabila Ronnie Fernandes mudah menolak masuk hantaran Quentin Cheng untuk menamatkan kemarau jaringannya sekali gus menceriakan penyokong.

Mukhairi Ajmal juga membuktikan dia mampu membantu Selangor meraih kemenangan selepas menjaringkan gol kedua juga dari hantaran Quentin Cheng untuk kedudukan separuh masa pertama memihak kepada Selangor.

Bersambung babak kedua, Mukhairi sekali lagi menggegar jaring untuk memberikan kelebihan tiga jaringan sebelum kesilapan Azim Al Amin memberikan satu gol percuma buat Kelantan Darul Naim menerusi Arip Amirudin.

Ketika KDN dilihat mula mendapat rentak, Ronnie sekali lagi memastikan kelebihan berpihak Selangor dengan gol kedua peribadinya sebelum Quentin sendiri melengkapkan malam cemerlangnya dengan gol kelima.

Penolong jurulatih KDN, Rezal Zamberi Yahya menjelaskan pasukannya mengalami masalah kecederaan yang kritikal apabila hanya 14 hingga 15 pemain sahaja yang turun berlatih.

“Ini adalah barisan terbaik yang kami ada kerana ramai pemain yang cedera dan seorang pemain terpaksa dilepaskan ke skuad kebangsaan Myanmar dan sesuatu perlu dilakukan untuk menghadapi pusingan kedua nanti,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu dalam sidang media yang sama, pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi memuji usaha yang ditunjukkan para pemainnya meskipun keletihan kerana mengharungi jadual yang padat dan gembira dengan kemenangan selesa ini.

“Tahniah kepada para pemain yang bermain baik walaupun keletihan tetapi apa yang penting, kita berjaya menang satu lagi perlawanan dan boleh kembali fokus kepada aksi seterusnya serta perlawanan timbal balik nanti,” jelasnya.