MALAYSIA mengukir sejarah gemilang di pentas e-sukan dunia apabila Ahmad Muhaimin, yang dikenali sebagai Minbappe, muncul juara kategori mobile FIFAe World Cup Ft eFootball 2024.

Pada aksi final yang berlangsung malam Khamis, Muhaimin mempamerkan keunggulan luar biasa dengan menewaskan wakil Maghribi melalui kemenangan mutlak 2-0, sekali gus menjadikan Malaysia juara dunia buat kali pertama dalam kejohanan berprestij itu.

Kemenangan ini mengukuhkan status Malaysia sebagai negara Asia Tenggara pertama yang berjaya menakluk gelaran juara dunia dalam kategori mobile FIFAe.

Perjalanan Muhaimin menuju kejayaan ini penuh dengan aksi mendebarkan, bermula di suku akhir apabila dia menundukkan Jepun dengan keputusan bersih 2-0.

Kejayaan itu diteruskan di separuh akhir dengan persembahan memukau, menewaskan India dalam pertarungan sengit 2-1.

Selepas memenangi gelaran juara dunia, Muhaimin meluahkan rasa syukur dan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perjalanan kariernya.

“Pertama sekali, Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberi saya peluang untuk mengangkat piala dunia untuk Malaysia.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan, terutama keluarga saya yang banyak membantu daripada segi moral… Tidak lupa juga kepada rakan-rakan seperjuangan saya dalam arena e-sukan.

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, terima kasih kerana mendoakan kejayaan ini. Saya tidak mampu membalas segala jasa baik anda semua, tetapi saya harap kemenangan ini menjadi hadiah buat negara kita,” kata Muhaimin penuh emosi.

Kejayaan Muhaimin dalam kejohanan ini bukan sekadar kemenangan individu, malah menjadi kebanggaan negara dan inspirasi kepada generasi muda yang ingin mencipta nama dalam bidang e-sukan.

Minbappe membuktikan bahawa dengan usaha keras dan semangat tinggi, anak muda Malaysia mampu bersaing di peringkat dunia dan menjulang nama negara di pentas antarabangsa. FOTO:FIFAe

Malaysia kini bukan sahaja dikenali dalam arena sukan tradisional tetapi juga semakin menyerlah dalam dunia e-sukan global.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa bakat tempatan mampu mencipta impak besar di peringkat dunia, membuka laluan baharu untuk generasi akan datang mencipta lebih banyak kejayaan di masa depan.

Tahniah, Minbappe! Terima kasih kerana mengharumkan nama Malaysia di mata dunia!