BEKAS pemain tengah Manchester United, Paul Pogba, berdepan cabaran besar untuk kembali ke pentas bola sepak profesional selepas 18 bulan digantung akibat doping.
Dalam tempoh itu, pemain berusia 31 tahun ini telah kehilangan kontraknya bersama gergasi Serie A, Juventus, yang mengambil keputusan untuk melepaskannya.
Kini sebagai ejen bebas, Pogba dikaitkan dengan beberapa kelab termasuk kemungkinan menyertai Ligue 1 bersama Marseille, atau mengikuti jejak Lionel Messi ke Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat.
Namun, desas-desus mengenai peluang untuk kembali ke Old Trafford bagi kali ketiga turut menarik perhatian peminat bola sepak.

Juventus membuat keputusan untuk melepaskan Paul Pogba dari kontraknya selepas dia dikenakan penggantungan akibat doping.
Bekas pemain pertahanan Manchester United, Wes Brown, tidak melepaskan peluang untuk tampil memberikan pendapat mengenai isu ini.
“Saya tidak pasti tentang Paul Pogba kembali ke Manchester United buat kali ketiga. Saya tidak nampak itu akan berlaku.
“Selepas 18 bulan digantung, ia pasti menjadi satu cabaran besar untuk kembali ke tahap prestasi seperti dahulu walaupun dia mungkin menjalani latihan di tempat lain, ia berbeza daripada berlatih bersama pemain bertaraf dunia.
“Saya yakin ada kelab yang akan mengambilnya, tetapi saya rasa ia bukan Manchester United,” katanya yang dipetik daripada media antarabangsa.
Pogba, yang juga produk akademi Manchester United, pernah meraih kejayaan menjulang trofi Liga Europa dan Piala Liga Inggeris semasa tempoh kedua bersama Red Devils.

Paul Pogba pernah memenangi Piala Dunia bersama pasukan kebangsaan Perancis pada tahun 2018
United dikatakan mungkin menawarkan peluang kepada Pogba untuk berlatih bersama pasukan itu pada awal tahun depan sebagai sebahagian daripada proses pemulihannya.
Tetapi, sama ada beliau akan mendapat peluang kontrak baharu di Old Trafford kekal menjadi persoalan.
Dengan kemahiran luar biasa yang dimilikinya, Pogba kini perlu membuat keputusan besar untuk menghidupkan semula kerjayanya di mana-mana kelab yang sudi mempertaruhkan nasib ke atas dirinya.