KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools mengakui timbul sedikit keraguan kerana tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan tuan rumah menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Khamis.
Begitupun, Cools percaya rakan sepasuan boleh meminimumkan risiko dan mencapai visi bagi meraih kemenangan ke atas Kyrgyzstan.
“Kami sedar Kyrgyzstan telah merekrut beberapa pemain baharu dan pemain tersebut mempunyai kualiti yang baik. Selepas mereka menyertai pasukan, saya rasa mereka menjadi lebih baik dari segi teknikal dan taktikal.
“Kami semua sedar akan perkara ini dan juga bersiap sedia untuk menghadapi mereka. Kami telah membawa masuk beberapa pemain dan cuba mencapai kekuatan terbaik.
“Jadi esok, kami akan bermain dengan kekuatan terbaik menentang Kyrgyzstan. Semoga kami dapat memberikan permainan yang baik untuk penonton,” katanya dalam sidang media di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada Rabu.

Cools (kanan) bersama Kim Pan-gon semasa sidang media di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek, sebentar tadi.
Mengulas lanjut, bintang Liga T1 Buriram United itu tidak terkesan kehilangan beberapa pemain tonggak yang sebelum ini pernah bersama pasukan termasuk di Piala Asia Qatar lepas.
“Ini adalah bola sepak. Malangnya mereka tidak bersama kami sekarang. Saya mendoakan agar mereka segera sembuh. Namun, pada akhirnya, kami perlu menggunakan pemain yang kami ada sekarang.
“Saya yakin sepenuhnya bahawa kami mempunyai skuad yang sangat kuat untuk menggantikan kedua-dua pemain tersebut.
“Pasukan kami bukan hanya terdiri daripada dua pemain utama, tetapi 11 pemain di atas padang dan pemain lain di bangku simpanan yang akan membuat perbezaan untuk kami.
“Saya tidak bimbang tentang perkara ini. Sudah tentu kami berharap mereka bersama kami, tetapi tiada tekanan negatif atau ketakutan bahawa prestasi kami akan terjejas,” katanya mengimbau detik manis ketika bermain menentang Korea Selatan di Piala Asia.
Ujarnya, mentaliti tersebut kini tertanam dalam pasukan kebangsaan dan mereka akan terus berjuang sehingga akhir dan berusaha membawa kemenangan pulang ke Malaysia.
Justeru itu, kemenangan amat ditagih untuk mencerahkan peluang Malaysia untuk mendapatkan tiket automatik layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.