MISI ke Piala Asia 2027 terus berada di landasan sempurna apabila Harimau Malaya mencatat kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Laos 3-0 di Stadium Nasional New Laos, Vientiane malam ini. Walaupun aksi pada babak pertama agak hambar dan penuh kesilapan, skuad kendalian Peter Clamovski tetap menunjukkan ketenangan untuk bangkit di separuh masa kedua bagi memastikan tiga mata penuh dibawa pulang.
Malaysia turun dengan formasi 3-4-3 namun berdepan kesukaran sejak awal permainan apabila keadaan padang yang tebal menyukarkan pemain mengawal bola. Arif Aiman hampir membuka jaringan pada minit ke-16 menerusi hantaran lintang yang ditanduk Romel Morales, namun percubaan itu sekadar melewati palang gol Laos.
Rentak permainan Malaysia kelihatan tidak tersusun dengan beberapa pemain seolah-olah buntu mencari rakan untuk melakukan hantaran. Romel sekali lagi mensia-siakan peluang pada minit ke-20 selepas rembatannya terkena pertahanan Laos, Anantaza Siphongphan. Separuh masa pertama berakhir tanpa sebarang jaringan dengan tempo perlahan dan kurang idea di bahagian serangan.
Namun, sebaik babak kedua bersambung, nada permainan berubah sepenuhnya. Hanya beberapa minit selepas sepak mula, tandukan Romel menggegarkan tiang gol Laos, memberi amaran awal buat pasukan tuan rumah. Ketika tekanan semakin meningkat, Arif Aiman akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-53 dengan rembatan leret dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Kop Lokphatip.
Malaysia semakin selesa selepas Dion Cools menggandakan kedudukan pada minit ke-69. Gol itu berpunca daripada rembatan Romel yang gagal dikawal kemas oleh penjaga gol Laos sebelum bola muntah disambar oleh kapten Harimau Malaya itu untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Debut menarik turut dicatatkan oleh Ramadhan Saifullah yang dimasukkan pada minit ke-81, menambah tenaga segar di bahagian tengah. Paulo Josue hampir menambah jaringan menerusi dua peluang keemasan pada minit ke-86, namun ketajaman penyudah masih belum memihak kepadanya.
Ketika perlawanan hampir tamat, Faisal Halim memastikan kemenangan mutlak dengan jaringan pada masa kecederaan (90+8), menjadikan keputusan muktamad Laos 0-3 Malaysia.
Kemenangan ini menyaksikan Harimau Malaya terus unggul dalam kempen kelayakan dengan rekod sempurna – tiga kemenangan, sembilan mata, dan belum dibolosi sebarang gol.
Malaysia akan kembali beraksi menentang lawan sama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober ini dalam saingan kelayakan.
TAMAT