Harimau Malaya memulakan kempen FIFA ASEAN Cup 2026 dengan kemenangan bergaya selepas menundukkan Bangladesh 3-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Utama Gelora Bung Karno (GBK), Jakarta, petang tadi.
Kemenangan itu meneruskan momentum positif skuad negara selepas kejayaan mara ke separuh akhir ASEAN Hyundai Cup 2026, selain mengukuhkan rekod baik Malaysia ketika berdepan Bangladesh.
Tiga muka baharu iaitu Bergson da Silva, Brad Tapp dan Manuel Hidalgo turut mendapat peluang membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya, manakala Bangladesh menampilkan beberapa pemain baharu termasuk Farhaan Ali Wahid dari Boreham Wood.
Malaysia bermula agresif dengan Bergson, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim menjadi sandaran utama di bahagian serangan. Usaha itu membuahkan hasil pada minit ke-18 apabila Arif Aiman menyudahkan hantaran Nooa Laine untuk menewaskan penjaga gol Bangladesh, Mehedi Hasan Srabon.
Jaringan tersebut turut menamatkan penantian Arif Aiman untuk kembali mencatat nama selaku penjaring selepas kali terakhir melakukannya ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Vientiane pada 9 Oktober 2025.
Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu kemudian menggandakan kelebihan Malaysia pada minit ke-38, kali ini selepas menerima umpanan Stuart Wilkin sebelum melepaskan percubaan yang sekali lagi menewaskan Srabon. Malaysia membawa kelebihan 2-0 ke bilik persalinan.

Bergson menjaringkan gol pertama beliau bersama Harimau Malaya dalam perlawanan debut.
Bangladesh cuba mengubah rentak permainan pada babak kedua dengan memasukkan Shahriar Emon dan pemain berdarah Jepun-Bangladesh, Shuki Itofusa. Namun, usaha mereka terbantut apabila Bergson melengkapkan debutnya dengan gol pada minit ke-53 menerusi rembatan deras untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Dalam keadaan Malaysia selesa di hadapan, ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran dengan merehatkan Arif Aiman dan Bergson. Fergus Tierney serta Paulo Josue dimasukkan bagi memberikan minit permainan kepada kedua-dua pemain.
Bangladesh hampir mendapatkan gol pada minit ke-77 menerusi pemain tengah Sheffield United, Hamza Choudhury, namun percubaannya berjaya dinafikan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli. Keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.
Kemenangan itu memberikan tiga mata penting kepada Harimau Malaya sebelum cabaran lebih getir menanti apabila mereka bakal berdepan tuan rumah Indonesia pada 28 September. Pada hari sama, Bangladesh pula dijadualkan menentang Singapura.