DATUK Mohd Sumali Reduan menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih jawatan tertinggi Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk antarabangsa sukan itu yang akan datang.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu berkata, beliau sedia mempertimbangkannya demi kebaikan sukan itu yang kini dipangku Boonchai Lorhpipat dari Thailand, sejak kematian presiden, Jeneral Charouk Arrirachakaran, Ogos 2023.

Istaf tidak seharusnya menunggu terlalu lama untuk mengisi kekosongan jawatan presiden. -Datuk Sumali Reduan.
“Perkara ini berada dalam pertimbangan saya untuk melihatnya, kalau ada ruang dan ilham yang bagus mana yang datang dulu sama ada AGM Istaf atau PSM.
“Saya serius kerana sudah lebih 30 tahun jawatan presiden Istaf itu dipegang Thailand… sejak penubuhan organisasi ini lagi.
“Asal presiden Istaf sahaja pasti Thailand… agaknya kalau kita biar tu sampai 50 tahun agaknya nanti,” kata Sumali, dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatakuasa Tertinggi PSM, diibu negara.
Beliau berkata, kekosongan jawatan itu sudah terlalu lama dan tidak seharusnya menunggu tempoh pemilhan pada AGM akan datang pada tahun hadapan.
Justeru, beliau akan menggesa agar Istaf menjalankan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk mengadakan pemilihan awal jawatan pucuk pimpinan Istaf yang baharu.
Pada November tahun lalu, Sumali pernah menyatakan bayangan mahu bertanding jawatan itu, malah Setiausaha Agung Istaf iaitu Datuk Abdul Halim Kader juga pernah menyatakan sokongan kepada Sumali.