JURULATIH Harimau Malaya, Peter Cklamovski jelas tidak mahu anak buahnya tampil longlai apabila menentang Vietnam dalam aksi penting Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun nanti, apabila beliau menegaskan perlunya satu atau dua perlawanan persahabatan sebagai ‘pemanas badan’ seusai tamatnya saingan liga tempatan.
Ditemui ketika sambutan Aidilfitri anjuran MFL-FAM-AFL di Kelana Jaya, Cklamovski mengakui cabaran besar menanti pasukannya memandangkan perlawanan menentang Vietnam berlangsung di luar musim, situasi yang boleh menjejaskan momentum pemain jika tidak ditangani dengan betul.
“Situasi agak rumit kerana liga sudah berakhir, jadi kami perlukan perlawanan persahabatan untuk mendapatkan rentak semula.
“Saya rasa satu atau dua aksi di laman sendiri amat penting supaya pemain tidak ‘lemau’,” katanya bersahaja namun penuh makna.
Beliau turut menegaskan bahawa Harimau Malaya perlu berada dalam keadaan fizikal dan mental terbaik, memandangkan Vietnam bukan lawan yang boleh dipandang ringan.
Namun, jurulatih dari Australia itu tetap optimis bahawa misi tiga mata di Bukit Jalil bukan sesuatu yang mustahil.
“Fokus dan kerja keras akan menjadi teras kem latihan nanti. Kami sedar tempoh ini juga ruang buat pemain untuk pulih dan bersedia, tapi pada masa yang sama intensiti latihan harus ditingkatkan. Kami mahu banggakan rakyat Malaysia melalui prestasi yang penuh kualiti,” ujar Cklamovski.
Dengan kem latihan yang dijangka bermula tidak lama lagi, tumpuan kini terarah kepada senarai pemain yang bakal dipanggil serta siapa lawan yang akan diuji dalam aksi persahabatan.