PENERJUN berpengalaman negara, Nur Dhabitah Sabri menganggap dia dibebani harapan, hingga gagal menyerlahkan prestasi sebenar di Kejohanan Akuatik Dunia, di Doha, Qatar, sekali gus terlepas tiket ke Sukan Olimpik 2024.

Menurutnya, skuad terjun negara tidak harus mengharapkan kudratnya semata-mata, sehingga terpaksa beraksi dalam tiga acara di kejohanan terbabit.

Ujar Dhabitah, dia sangat tertekan kerana bersaing dalam tiga acara hingga tumpuannya terganggu, selain berasakan faktor usia yang meningkat, mendedahkan dirinya kepada kecederaan.

Bagaimanapun, jaguh terjun berusia 24 tahun itu masih mengharapkan perubahan berlaku dalam skuad terjun negara, terutama merapatkan jurang antara atlet senior dan junior agar Sukan Olimpik 2028 akan datang, dia tidak terbeban dengan perkara itu sekali lagi.

Pada Sukan Asia Hangzhou, Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri, mengakui mereka serasi dalam acara 3 meter papan anjal seirama.

“Saya akui sangat sedih kerana tidak layak ke Paris dan memang agak tertekan kerana saya main tiga acara. Jadi, saya tak boleh fokus betul-betul dalam acara saya. Kemudian saya alami kecederaan dan lagi sakit hati kerana tidak dapat memberikan terbaik.

“Sejujurnya, ketika di Doha saya berurusan dengan kecederaan dan beraksi dalam tiga acara berbeza. Atas faktor kecederaan tersebut, saya akui tidak boleh kawal sebab sangat sukar.

“Saya alami kecederaan lengan ‘triceps’ tertarik dan ia berlaku sewaktu latihan acara 10 meter. Selepas dihimpit kecederaan tersebut, saya tak larat nak peluk kaki dan juga tak boleh nak lakukan terjunan hingga tangan saya juga lebam.

“Jika ikut perancangan saya nak beraksi dalam acara 10 meter (m) platform seirama, 3m individu tetapi jurulatih cakap acara 3m seirama ada harapan (Olimpik Paris), jadi saya ikut cakap jurulatih dan akhirnya keputusan berakhir seperti ini.

“Bagi saya kita perlukan junior selepas ini kerana selepas Wendy Ng (bersara), kita memang tidak ada lagi atlet seterusnya. Takkan nak harapkan saya seorang buat semua. Jadi, kehadiran atlet baharu penting dan itu saya harapkan selepas ini,” katanya.

Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng meraih pingat perak 3m papan anjal seirama, namun sampai bilakah skuad terjun negara mengharapkan muka yang sama untuk menyumbang pingat?

Dalam masa sama, Dhabitah meluahkan perkara itu tidak akan berlaku sekiranya bekas jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker berada bersama mereka di Doha.

“Bagi pihak saya, kalau Brooker masih ada, pasti akan menjadi lain. Jadi ia di luar kawalan, mahu atau tidak, anda perlu bekerja dengannya dan jika anda tidak boleh bekerja, anda kena mencari jalan lain untuk menjayakannya.”

Brooker, jurulatih kelahiran Australia dibawa masuk mengendalikan skuad terjun negara pada Disember 2017 bagi menggantikan jurulatih dari China, Yang Zhuliang tetapi kontrak Brooker tidak disambung sejurus tamat kempen Sukan Olimpik Tokyo susulan skuad terjun negara gagal meraih sebarang pingat.

“Benda sudah berlaku dan kita perlu teruskan serta buat terbaik pada masa akan datang. Masa tidak boleh diputarkan semula dan harapan kini adalah melakukan yang terbaik untuk masa hadapan,” luah Dhabitah.

Ketika ini, skuad terjun negara dilatih oleh dua jurulatih China iaitu Li Rui dan Jia Ning serta jurulatih tempatan, Datuk Leong Mun Yee sambil dipantau pengarah teknikal, Bryan Nickson Lomas dan Khairul Safwan Mansur sebagai pengarah prestasi tinggi.

Kegagalan skuad terjun negara di Doha juga bermakna Malaysia terpaksa bergantung harap kepada Betrand Rhodict Lises sahaja sebagai wakil tunggal negara di Sukan Olimpik Paris Julai depan.