KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) dalam perancangan untuk memburu 11 jurulatih baharu demi memastikan perjalanan atlet-atlet olahraga ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2027 berada dalam radar yang baik.
Pengarah Teknikal KOM, Robert J Ballard mendedahkan misi pencarian empat ketua jurulatih dan tujuh jurulatih baharu olahraga ini meliputi beberapa acara yang melibatkan larian jarak jauh, larian jarak dekat, larian berpagar, acara lemparan dan beberapa lagi.
Usul pencarian ini juga sudah mendapat lampu hijau daripada pihak Majlis Sukan Negara (MSN), dan KOM akan mula menghebahkan iklan kekosongan jawatan jurulatih kepada pihak umum, secepat yang mungkin.
“Sekarang kami mempunyai 11 jurulatih, kemudian kita akan membawa masuk jurulatih-jurulatih baharu untuk mengembangkan arena olahraga ini. Kami mahu jurulatih ini bangga menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan dan mahu atlet-atlet juga bangga mewakili Malaysia.
“Kini, kami mencari lebih kurang 11 lagi jurulatih termasuk empat ketua jurulatih untuk kita mendapatkan lagi banyak peluang meraih emas dalam acara olahraga, terutamanya di Sukan SEA nanti. Kami yakin kami boleh menggandakan pingat emas yang pernah diraih, tetapi kita perlu mempunyai struktur kejurulatihan yang kukuh dahulu.
“Apabila kita menjadi tuan rumah pasa Sukan SEA 2027, saya fikir kita akan melihat peningkatan prestasi lebih dramatik dan kita perlu fikir fara untuk mengekalkan peningkatan itu sehingga 2029.
“Jadi, selepas kita meraih lebih kurang 22 jurulatih olahraga, maka fungsi ketua jurulatih akan membantu mengawasi dan ambil alih tugas tambahan jika diperlukan. Yang penting sekali, mereka perlu mengajar jurulatih tempatan tentang cara menguruskan pelbagai atlet, ini kunci kami,” ujar Ballard ketika ditemui selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) KOM bersama MSN pada Selasa.
Pengumuman daripada hasil pencarian jurulatih baharu mungkin akan diumumkan seawalnya pada 1 Julai 2024, atau selewatnya pada September susulan memberi laluan kepada jurulatih yang terlibat di Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.