PELUMBA pecut trek elit negara tidak mengecewakan pada hari pembukaan Siri Kedua Piala Presiden di Velodrom Nasional, di Nilai, apabila menguasai podium dan ada catatan baharu peribadi dicipta.
Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Ridwan Sahrom masing-masing merangkul pingat emas dalam acara pecut individu, manakala pelumba muda Nurul Alyssa Farid mencipta rekod peribadi baharu dengan catatan di bawah 11 saat buat kali pertama.
Ridwan mempamerkan keyakinan sepanjang pusingan acara pecut individu lelaki, menewaskan Kang Seojun dari Korea Selatan di separuh akhir sebelum menundukkan rakan sepasukan negara, Fadhil Zonis, 2-0 di final.
Ridwan, yang hanya meraih gangsa dalam Siri Pertama (14-15 Januari) dan gagal ke final acara keirin, menyatakan rasa puas hati dan gembira selepas berjaya meraih emas pertamanya dalam siri Piala Presiden tahun ini.

Ridwan (tengah) dan Fadhil terus mempamerkan penguasaan di Veledrom Nasional, Nilai.
“Saya melakukan kesilapan pada separuh akhir keirin (Siri Pertama) dan tidak layak ke final, jadi emas pecut ini sedikit sebanyak menebus kekecewaan itu,” kata Ridwan.
Meskipun mengakui masih keletihan, dia tetap memberikan persembahan terbaik.
“Kaki masih terasa letih (daripada Siri Pertama), tetapi saya yakin apabila berdepan Seojun kerana pernah berlumba dengannya sebelum ini dan tahu apa yang perlu dilakukan.
“Namun, saya lebih gementar berlumba dengan Fadhil di final kerana kami saling mengetahui kekuatan dan kelemahan masing-masing. Perlumbaan itu sengit, tetapi saya berjaya menang. Fokus saya sekarang adalah acara skeirin esok, dan saya mahu pastikan layak ke final dahulu,” katanya.

Nurul Izzah mengekalkan statusnya sebagai jaguh pecut wanita Asia.
Sementara itu, Sam Gallagher dari Australia, yang tewas kepada Fadhil di separuh akhir pecut individu, membawa pulang gangsa selepas menewaskan Seojun 2-0 dalam perebutan tempat ketiga.
Dalam acara pecut individu wanita, Nurul Izzah sekali lagi mengatasi Kim Haeun dari Korea Selatan, sebagaimana di final Siri Pertama empat hari lalu. Kali ini, Nurul Izzah menang dengan keputusan 2-0, mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam siri Piala Presiden tahun ini.
Hasil kemenangan itu, Nurul Izzah kini mengumpul tiga pingat emas selepas tiga acara, termasuk acara keirin dalam Siri Pertama.
Pelumba Korea Selatan, Cho Sunyoung, meraih gangsa selepas menewaskan Alyssa 2-0 dalam perebutan tempat ketiga.

Nurul Izzah (tengah) sudah memenangi tiga pingat emas pada Siri Piala Presiden, tahun ini.
Nurul Izzah, 21, mengakui dia tetap perlu berhati-hati agar tidak terlalu selesa, terutama menjelang acara keirin esok.
“Walaupun sedikit letih (daripada Siri Pertama), saya gembira dapat memperbaiki persembahan dan menang 2-0 di final kali ini,” kata Izzah.
“Saya juga gembira melihat Alyssa mencatat rekod peribadi baharu, 10.953 saat, dalam kelayakan hari ini. Saya berada di tempat kedua di belakangnya (11 saat) semasa pusingan kelayakan.
“Dia masih baru, muda dan saya harap dia terus meningkat. Kehadiran pelumba-pelumba kuat dalam pasukan memaksa saya untuk terus memperbaiki diri dan tidak terlalu selesa.

Nurul Alyssa menunjukkan bakat luar biasanya pada usia belasan tahun apabila berjaya meraih gangsa pecut wanita, kategori pelumba elit.
“Esok kami ada acara keirin, yang sentiasa tidak dapat dijangka. Semua pelumba ada peluang untuk cemerlang, jadi saya perlu berhati-hati dan tidak memandang rendah mana-mana pihak,” kata pelumba berasal dari Kedah itu.
Alyssa, yang memenangi gangsa dalam acara pecut individu Siri Pertama, terus menunjukkan peningkatan.
Pelumba berusia 19 tahun itu kini berada dalam program pelapis kebangsaan, berpotensi diserap ke skuad elit tidak lama lagi selepas persembahan cemerlangnya di Piala Presiden.
Siri Piala Presiden 2025 membabitkan tiga peringkat utama: Siri Pertama (14-15 Januari), Siri Kedua (18-19 Januari), dan Siri Ketiga (22-23 Januari).
Setiap siri ini menjadi medan penting bagi pelumba pecut trek untuk menguji kemampuan mereka serta mencipta pencapaian baharu di Velodrom Nasional.