DI sebalik badai yang melanda Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas dijatuhi hukuman berat oleh FIFA, suara optimis hadir daripada Naib Presiden FAM, Datuk Dollah Salleh yang yakin badan induk bola sepak negara itu mampu merungkai kemelut dalam tempoh rayuan 10 hari yang diberikan.

Menurut legenda bola sepak negara itu, perbincangan bersama pucuk pimpinan sudah pun diadakan sebaik hukuman diumumkan, sekali gus menandakan FAM tidak berdiam diri dan sedang mengatur strategi terbaik untuk mempertahankan maruah bola sepak tanah air.

“Semua pihak kena bertenang. Kita sudah pun bincang dan saya percaya dalam masa 10 hari ini mesti ada jalan penyelesaian. Saya optimis ada keputusan positif menanti FAM,” kata Dollah ketika ditemui di Klinik Bola Sepak Bandar Tun Razak, yang turut dirasmikan Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Difahamkan ketika ini, delegasi FAM sudah berada di ibu pejabat FIFA di Zurich, Switzerland untuk mengemukakan rayuan rasmi. Langkah itu menjadi taruhan penting dalam usaha menyelamatkan FAM daripada denda RM1.9 juta serta memastikan tujuh pemain berdarah warisan dapat kembali beraksi lebih awal daripada tempoh penggantungan 12 bulan.

Apa yang menghairankan Dollah ialah keputusan drastik FIFA itu dibuat hanya beberapa bulan selepas badan induk dunia tersebut sendiri memberikan lampu hijau kepada pemain terbabit untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Asia 2027.

“Awal-awal dulu sudah ada pelepasan. Jadi kenapa pula sekarang dikenakan tindakan? Itu yang jadi persoalan. Tapi saya percaya hasil rayuan nanti akan ada sesuatu yang positif,” jelasnya.

Untuk rekod, tujuh pemain berkenaan ialah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel. Kesemua mereka beraksi ketika Malaysia menentang Vietnam pada 10 Jun lalu sebelum aduan rasmi mengenai status kelayakan mereka dikemukakan kepada FIFA.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM bersalah kerana menyerahkan dokumen yang dianggap dipalsukan. Akibatnya, FAM didenda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) selain digantung selama setahun.

Walaupun situasi ini memberi tamparan hebat kepada bola sepak negara, keyakinan Dollah Salleh seakan meniup semangat bahawa perjuangan FAM belum berakhir. Segala harapan kini tertumpu pada keputusan rayuan di Zurich yang bakal menentukan hala tuju masa depan skuad Harimau Malaya.