KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) semalam mengesahkan pihaknya akan meneliti dengan serius implikasi hukuman yang dijatuhkan FIFA terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya. Isu itu kini menjadi perhatian meluas kerana berpotensi menjejaskan perjalanan kejohanan di bawah kelolaan badan induk Asia tersebut.
Menurut FMT, AFC menegaskan bahawa mereka tidak akan terburu-buru membuat sebarang keputusan, sebaliknya akan menunggu prosiding FIFA selesai sepenuhnya. “AFC akan meneliti situasi ini selaras dengan peraturan yang terpakai sebaik prosiding FIFA selesai”.
Keputusan drastik FIFA diumumkan pada Jumaat apabila FAM dikenakan denda CHF350,000 (RM1.9 juta), manakala tujuh pemain terbabit masing-masing turut dikenakan denda CHF2,000 (RM11,000). Lebih berat, kesemua mereka digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa serta-merta.
Antara pemain yang terkesan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano. Mereka sebelum ini menjadi antara tonggak penting ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027, Jun lalu.
Jawatankuasa Tatatertib FIFA dalam pengumumannya mendakwa kes ini berpunca daripada pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA yang berkaitan pemalsuan dokumen. Dakwaan itu sekali gus membuka ruang kepada perdebatan hangat mengenai ketelusan proses pendaftaran pemain naturalisasi di Malaysia.
FAM pula dalam kenyataan terdahulu menegaskan semua dokumentasi telah dilakukan secara telus dan mengikut prosedur yang ditetapkan. Malah, badan induk itu kini sedang giat menyiapkan rayuan rasmi.
Implikasi krisis ini bukan kecil, kerana ia memberi kesan langsung kepada persiapan Harimau Malaya dalam menghadapi perlawanan seterusnya selain menjejaskan reputasi bola sepak negara di peringkat antarabangsa. Jurulatih juga kini berdepan cabaran besar untuk merangka semula pasukan tanpa tujuh tonggak utama itu.
Semua tumpuan kini beralih kepada tempoh 10 hari diberikan FIFA kepada FAM untuk memfailkan rayuan. Keputusan tribunal antarabangsa itu bakal menentukan sama ada Malaysia mampu menyelamatkan kedudukan dan maruahnya, atau terpaksa akur dengan salah satu krisis terbesar dalam sejarah bola sepak negara.