Ketua jurulatih Sabah Mountaineers, Daut Amba, mengingatkan anak buahnya supaya mengekalkan fokus dan tidak memandang rendah kemampuan lawan selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir STL 2026 Divisyen 1.

Beliau mengakui Sabah sering terkandas di peringkat suku akhir atau separuh akhir sebelum ini, justeru mahu pemainnya memberikan komitmen terbaik bagi memastikan pasukan itu mampu melangkah lebih jauh musim ini.

Menurut Daut, aspek pertahanan dan penyudah menjadi keutamaan yang perlu diberikan perhatian oleh pemain ketika mengharungi cabaran di peringkat kalah mati.

“Sabah selalu terhenti di suku akhir atau separuh akhir, apa-apa pun kita buat yang terbaik dan kita tidak juga memandang rendah sama pihak lawan. Apa yang saya titikberatkan kepada pemain-pemain saya ialah fokus terhadap satu-satu perkara,” katanya.

Sabah Mountaineers mengesahkan kemaraan selepas menewaskan Putrajaya Cyborg 2-0 menerusi kemenangan 15-9, 15-10 dalam aksi suku akhir di Akademi Sepaktakraw Malaysia, Kuala Lumpur.

Kemenangan itu meletakkan Sabah selangkah lebih dekat untuk merebut tiket ke STL Premier, sekali gus membuka peluang kepada pasukan berkenaan untuk kembali bersaing dalam divisyen tertinggi sepak takraw negara.

Bagaimanapun, Daut menegaskan setiap pasukan yang berjaya mara ke suku akhir memiliki kelebihan tersendiri dan Sabah perlu bersedia menghadapi apa jua kemungkinan di gelanggang.

“Masing-masing ada kekuatan sendiri (yang layak ke suku akhir) tapi kita tidak akan memandang rendah dengan pihak lawan sebab dalam game apa-apa boleh berlaku,” katanya.

Sabah kini perlu mengekalkan momentum kemenangan dan memperkemaskan aspek permainan menjelang aksi separuh akhir esok bertemu sama ada Pahang Mammoth atau Bomba Fighters, dengan impian untuk kembali ke STL Premier semakin hampir menjadi kenyataan.