SURUHANJAYA Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesan beberapa ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dalam proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain naturalisasi bola sepak Malaysia selepas menjalankan siasatan terhadap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Siasatan itu dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung proses kelulusan kewarganegaraan pemain terbabit, dengan Pasukan Petugas Khas EAIC meneliti dokumen daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN), JPN, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), selain mengambil keterangan daripada pegawai serta saksi awam.

Menurut laporan siasatan, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk mempertimbangkan permohonan kewarganegaraan secara penaturalisasian di bawah Perkara 19, termasuk menggunakan budi bicara bagi kes-kes tertentu yang melibatkan kepentingan negara.

Bagaimanapun, EAIC mendapati proses pertimbangan bagi tujuh pemain terbabit dilakukan dalam tempoh yang terlalu singkat dan tidak teratur sehingga menimbulkan beberapa isu pematuhan.

Antara penemuan utama ialah ketidakaturan dalam proses pengeluaran Permit Masuk yang melibatkan temu duga dan tapisan keselamatan oleh JIM, selain isu berkaitan ujian Pengetahuan Bahasa Melayu oleh JPN.

EAIC turut mengesan ketidakpatuhan berkaitan pengesahan pelepasan kewarganegaraan asal daripada negara asal pemain, selain kegagalan menyerahkan pasport asal kepada pihak Imigresen seperti yang sepatutnya.

Sehubungan itu, EAIC mengesyorkan agar JPN dan KDN menyemak semula keseluruhan proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain berkenaan serta mewujudkan garis panduan yang lebih jelas mengenai penggunaan kuasa budi bicara di bawah Perkara 19(2) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, agensi berkenaan turut mengesyorkan supaya SOP khusus diwujudkan bagi proses pemberian taraf kewarganegaraan, pelepasan kewarganegaraan asal, penggunaan kuasa Pendaftar Besar serta prosedur tapisan keselamatan yang melibatkan JPN, JIM dan PDRM.

EAIC menegaskan bahawa pemberian kewarganegaraan secara penaturalisasian melibatkan kepentingan serta keselamatan negara dan semua prosedur yang berkuat kuasa perlu dipatuhi secara ketat. Laporan penuh siasatan itu telah diserahkan kepada KDN, JPN dan JIM untuk tindakan lanjut.