MAHKAMAH Tinggi Kangar menolak permohonan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) untuk mendapatkan perintah injunksi bagi menghalang Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada meneruskan Kongres FAM yang dijadualkan pada 15 Februari ini.
Prosiding pendengaran permohonan itu berlangsung pada Jumaat di hadapan Hakim Dr. Arik Sanusi Yeop Johari melalui aplikasi Zoom.
FAM dan barisan Exco selaku defendan diwakili oleh peguam Datuk Malik Imtiaz, Souren Ananthan, Yogan Sivam, dan M. Rajkumaran.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, dalam satu kenyataan pada Jumaat, mengesahkan keputusan mahkamah tersebut dan memaklumkan bahawa PFA turut diperintahkan untuk membayar kos kepada pihaknya.

Noor Azman Rahman, Setiausaha Agung FAM
Presiden PFA, Zamri Ibrahim, ketika dihubungi turut mengesahkan bahawa permohonan injunksi berkenaan telah ditolak. Beliau turut memaklumkan bahawa bagi kes saman PFA terhadap FAM, hakim telah memutuskan supaya kes itu dirujuk kepada proses timbang tara.
PFA sebelum ini telah memfailkan permohonan injunksi pada Disember 2024 melalui Tetuan Zamri Ibrahim & Co dengan menamakan 20 defendan, termasuk FAM, Presiden FAM Tan Sri Hamidin Mohd Amin, Naib Presiden FAM Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, serta Pesuruhjaya Sukan Malaysia.
Selain itu, PFA turut memfailkan saman terhadap FAM pada Disember 2024 bagi mencabar keputusan penggantungan persatuan itu sebagai ahli gabungan badan induk berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Disember 2024.
Pada 31 Disember 2024, PFA sekali lagi memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kangar bagi menghalang Kongres Pemilihan FAM.
FAM sebelum ini menggantung keahlian PFA sebagai ahli gabungan susulan isu tunggakan gaji dan pampasan bekas Pengarah Bola Sepak pasukan itu, Matt Holland.