BARISAN kejurulatihan perlu mencari pendekatan baharu bagi memaksa pemain perseorangan lelaki negara termasuk Leong Jun Hao mengeluarkan potensi terakhir mereka selepas kempen kurang memberangsangkan di Seluruh England 2026.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan BAM, Kenneth Jonassen mengakui keputusan di Birmingham bukan seperti diharapkan walaupun mereka sudah bersedia menghadapi kejohanan bertaraf Super 1000 itu.

Prestasi Leong Jun Hao seakan tepu.

Jun Hao sebenarnya memberi sinar awal buat Malaysia apabila menewaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto pada pusingan pertama sebelum kemaraannya terhenti pada pusingan kedua.

Menurut Jonassen, beliau melihat perseorangan negara mempamerkan rentak pergerakan yang kurang pantas selain kegagalan pemain melaksanakan pelan permainan seperti dirancang.

“Of course we had hoped for more than All England result but wasn’t to be,” katanya kepada Flash Sukan.

Justin Hoh juga sering teraingkir awal dari kejohanan yang disertai.

Tambahnya lagi, masalah utama yang dikenal pasti adalah tempo pergerakan di gelanggang yang tidak cukup tajam selain kegagalan menterjemah strategi ketika perlawanan berlangsung.

“Mainly, lack of moving pace and didn’t execute the game plan,” katanya sambil menegaskan perbincangan mengenai gaya latihan tidak memberi makna besar ketika kejohanan berlangsung.

Beliau menegaskan barisan jurulatih akan terus mencari kaedah baharu untuk menolak Jun Hao serta pemain perseorangan lain mencapai potensi maksimum mereka di pentas antarabangsa.