SELAIN nama besar dari Indonesia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mendedahkan beberapa calon tempatan turut dipertimbangkan badan induk itu bagi mengisi kekosongan ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Rexy Mainaky berkata, antara yang berada dalam radar BAM adalah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996, Yap Kim Hock selain bekas gandingan nombor satu dunia, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong serta Lee Wan Wah.

Menurut beliau, BAM bagaimanapun masih melakukan proses penilaian bagi memilih calon yang benar-benar layak untuk mengambil alih tempat Tan Bin Shen yang akan melepaskan jawatannya pada 13 Januari ini.

Pengarah Kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky mengesahkan pemain yang pernah dilatihnya, antara yang dirisik untuk melatih skuad kebangsaan 

“Saya ada berbicara dengan beberapa jurulatih tempatan seperti Kim Hock, Wan Wah dan beberapa bekas pemain yang saya pernah latih sebelum ini (Kien Keat dan Boon Heong).

“Seperti Wan Wah dia adalah jurulatih Jepun, Boon Heong pula kita tahu dia ada akademi badminton sendiri manakala Kien Keat pernah menjadi jurulatih Akademi Badminton Granular di Thailand.

“Mereka semua ini ada pengalaman,” kata Rexy ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.

Ujarnya, Wan Wah bagaimanapun mungkin tidak dipilih selepas jurulatih itu menyatakan komitmennya untuk terus kekal bersama skuad badminton Jepun.

Kim Hock yang bergandingan bersama Datuk Cheah Soon Kit ketika memenangi perak di Olimpik Atlanta pernah menggalas tugas selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara pada 2004 hingga 2008 sebelum menjadi jurulatih di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) selama empat tahun.

Kien Keat dan Boon Heong, mereka adalah anak didik Rexy yang mana di bawah bimbingan jurulatih dari Indonesia itu mereka meraih beberapa kejayaan termasuk muncul pemenang emas Sukan Asia 2006, juara Seluruh England 2007 dan pernah memegang status pasangan nombor satu dunia.

Rexy Mainaky berbincang dengan ketua jurulatih beregu remaja kebangsaan, Pang Cheh Chang

Sebelum ini media melaporkan jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi yang berjaya melahirkan juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido mengesahkan dirinya ada dihubungi BAM mengenai potensi untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih beregu lelaki negara.

Selain Herry, dua lagi nama jurulatih luar yang disebut-sebut bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Bin Shen iaitu jurulatih dari Denmark, Mathias Boe dan Flandy Limpele dari Indonesia.

Begitupun, Rexy memberitahu keputusan pemilihan jurulatih baharu perlu mendapat persetujuan semua termasuk pengurusan tertinggi BAM.

“Bukan saya seorang sahaja yang buat keputusan, sebaliknya kita bincang dan mengambil kira semu pandangan semua pihak. Sebaik kita selesai, kita akan umumkan,” tambah Rexy.