BEKAS penyerang kebangsaan, Safee Sali mahu kesemua pemain Harimau Malaya yang bakal membawa nama negara dalam kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar untuk tidak melayan sebarang provokasi yang ditimbulkan di laman sosial.

Safee turut memberitahu bahawa dua pemain negara, Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang diangkat sebagai ‘poster boy’ oleh laman sosial rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebenarnya adalah berdasarkan prestasi semasa mereka dan bukannya untuk mendapat perhatian netizen Malaysia.

“Secara jujur memang saya tengok Arif Aiman sedang berada dalam prestasi yang serta dia punya momentum sangat baik dengan turut dicalonkan antara pemain yang akan diawasi atau pemain muda yang akan menyelah dalam kejohanan kali ini.

“Memang saya akui perkara itu dan saya rasa bukan untuk mendapat reaksi jabatan netizen Malaysia, tetapi pasukan kita mempunyai prestasi baik dan saya mengharapkan kita boleh pergi jauh meskipun berdepan laluan sukar dalam Kumpulan E.

“Oleh itu dengan tumpuan yang diberikan, ianya memberikan semangat kepada pasukan kita dan pemain kita lebih yakin dalam keupayaan diri sendiri yang mana sangat penting dalam kejohanan seperti ini. Saya harapkan mereka akan pergi jauh tetapi jangan terganggu dengan sebarang provokasi daripada media sosial,” katanya.

Penyerang prolifik negara itu juga berharap Malaysia dapat membuat permulaan yang baik apabila menentang Jordan berdasarkan prestasi pasukan ketika ini dan dia mahu semua pemain menggandakan usaha untuk mencatat mata maksimum.

“Saya mengharapkan kita akan bermula dengan baik ketika bertemu Jordan sebab kita berjaya mengikat Syria ketika perlawanan ujian. Itu sedikit sebanyak persiapan yang baik untuk pasukan dan kita juga sampai awal di Qatar dan ada kelebihan sebab kita dah sesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan padang di sana.

“Harap kita fokus ‘game by game’, dengan Jordan kita fokus untuk beri sehabis baik sepanjang 90 minit untuk memastikan kita mendapat mata maksima,” jelasnya.

Malaysia akan memulakan kempen Piala Asia menentang Jordan pada 15 Januari dan bertemu Bahrain pada 20 Januari sebelum melengkapkan aksi Kumpulan E bertemu gergasi Asia, Korea Selatan dengan sasaran awal layak ke peringkat 16 terbaik buat kali pertama.