PERTEMBUNGAN rakan sepelatih yang dijangka sengit, berkesudahan dengan kemenangan mudah memihak beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya menewaskan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dalam perebutan tiket ke suku akhir.
Pilihan ketiga kejohanan itu menang mudah pada set pertama 21-15 dan mengesahkan kemenangan 21-16 dalam tempoh 37 minit.
Kemaraan ke suku akhir bermakna, beregu nombor empat dunia itu mengatasi pencapaian edisi lalu setelah mereka tersekat pada pusingan kedua setelah tewas dalam pertarungan straight set 10-21, 21-23 kepada gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.
Begitupun, menanti Aaron-Wooi Yik pada aksi suku akhir bukan calang-calang lawan, iaitu juara Kejohanan Dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae yang menewaskan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan 21-13, 21-14.
Pertembungan itu pasti menarik kerana menemukan dua juara dunia, berikutan Aaron-Wooi Yik menjuarai Kejohanan Dunia pada 2022.
“Sudah banyak kali lawan (pasangan Korea Selatan). Mereka ambil (juara Siri Jelajah Dunia Akhir). Sekarang 2024, mereka juga ambil 2023 (juara dunia) jadi sekarang sudah lain.
“Kita mula kosong-kosong. Kami akan buat persediaan terbaik dan bincang dengan jurulatih untuk aksi esok (Jumaat),” ujar Aaron.
Pencapaian terbaik Wooi Yik-Aaron dalam saingan Terbuka Malaysia ialah mara ke aksi separuh akhir edisi 2022.