Kredit Gambar: Karl-Josef Hildenbrand/AFP
Bayern Munich terpaksa melepaskan peluang meraih kemenangan selepas Viking FK bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat juara Jerman itu 3-3 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Keputusan dramatik itu hadir selepas Bayern yang ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama berjaya mengubah kedudukan sebelum kehilangan Michael Olise akibat kad merah, sekali gus membuka ruang buat wakil Norway berkenaan menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan.
Viking terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Gianni Stensness dan Peter Christiansen masing-masing menemui sasaran untuk memberikan kelebihan 2-0 sebelum rehat.
Bagaimanapun, Bayern mempamerkan kebangkitan menerusi Harry Kane yang memainkan peranan penting dalam usaha merapatkan jurang dan membawa pasukannya mendahului 3-2, hasil dua jaringan serta sumbangan dalam satu lagi gol.
Ketika Bayern dilihat semakin hampir mengesahkan kemenangan, Olise menerima dua kad kuning dalam tempoh singkat. Pemain itu dibuang padang selepas membantah keputusan pengadil sebelum membaling bola ke arah muka pemain lawan.
Kehilangan seorang pemain nyata memberi kesan kepada Bayern apabila Viking mengambil kesempatan untuk meningkatkan tekanan. Usaha tuan rumah akhirnya gagal dipertahankan apabila Herman Haugen menjaringkan gol penyamaan pada minit terakhir bagi memastikan Viking membawa pulang satu mata berharga.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany, menyifatkan tindakan Olise sebagai kesilapan yang merugikan pasukan, terutama ketika mereka sudah berada di hadapan.
“Ia kesilapan kami sendiri. Kad merah itu sangat bodoh. Anda boleh melihat daripada riak mata Michael bahawa dia menyesali tindakannya dan kesal kerana mengecewakan pasukan,” kata Kompany.
Kad merah itu turut menyaksikan Olise bakal terlepas pertembungan penting menentang Arsenal di Munich minggu depan.
Sementara itu, pengendali Viking, Bjarte Lunde Aarsheim, memuji disiplin dan semangat juang pemainnya yang tidak mengalah meskipun Bayern berjaya menjaringkan tiga gol pantas pada babak kedua.
Beliau mengakui Viking mengharungi separuh masa pertama dengan cemerlang menerusi pelaksanaan taktikal yang dirancang, namun mengakui pasukannya perlu memperkemaskan pertukaran posisi dan organisasi pertahanan selepas rehat.
Aarsheim turut menegaskan sokongan penyokong di stadium menjadi pendorong kepada pemain untuk terus memburu keputusan positif sehingga wisel penamat.