Negeri Sembilan FC memperkukuh pilihan di bahagian serangan apabila membawa masuk penyerang antarabangsa Mauritania, Aboubakar Kamara, sebagai tonggak import baharu bagi menghadapi saingan musim ini.
Pemain berusia 31 tahun itu diumumkan secara rasmi oleh pengurusan skuad Hoben Jang Hoben menerusi platform media sosial kelab, sekali gus menambah pengalaman antarabangsa dalam barisan kendalian Daniel Gimenez.
Kamara hadir dengan latar belakang luas selepas pernah beraksi bersama beberapa kelab luar negara, termasuk Fulham dan AS Monaco. Pengalamannya merentasi saingan Eropah serta Asia dijangka menjadi nilai tambah buat skuad Jang dalam usaha memperkemaskan jentera serangan.
Selepas menyertai Negeri Sembilan, Kamara menyatakan hasrat untuk menggunakan pengalaman yang dimilikinya bagi membantu perkembangan pasukan, selain memberikan inspirasi kepada rakan sepasukan dan penyokong.
“Saya di sini untuk membawa pengalaman saya, memberi inspirasi kepada orang di sekeliling saya dan membina sesuatu yang istimewa untuk kelab ini dan para penyokong,” katanya.
Penyerang itu turut mempunyai pengalaman beraksi di Asia apabila pernah menyarung jersi Al-Jazira di Emiriah Arab Bersatu, Sepahan di Iran serta Kanchanaburi Power FC di Thailand.
Di pentas antarabangsa, Kamara juga pernah mewakili skuad kebangsaan Mauritania dengan merekodkan 26 penampilan dan lapan gol, sekali gus membawa pengalaman beraksi di peringkat negara ke Negeri Sembilan.
Kehadirannya dilihat penting buat Gimenez yang perlu menyusun semula pilihan serangan selepas penyerang Jepun, Mio Tsuneyasu, terpaksa berehat panjang susulan menjalani pembedahan.
Dengan pengalaman beraksi dalam pelbagai liga, Kamara diharapkan mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan membantu Negeri Sembilan meningkatkan ketajaman di hadapan gawang lawan.