DISIPLIN diri menjadi tonggak kemajuan prestasi jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sehinggakan Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley menyatakan bahawa pelumba asal Dungun, Terengganu itu tidak memerlukan jurulatih sepenuh masa.

Meskipun pernah memberi bayangan untuk bersara selepas Sukan Olimpik Paris, minggu lalu, Azizulhasni mengejutkan ramai apabila mengumumkan hasrat untuk terus berlumba, namun sebagai pelumba profesional tanpa terikat sepenuhnya dengan kem kebangsaan.

Bagaimanapun, pelumba berusia 37 tahun itu masih diberi akses kepada kemudahan latihan dan sokongan skuad kebangsaan apabila berada di Malaysia, selain turut mendapat perancangan latihan seperti sebelum ini daripada Beasley dan jurulatih negara, Harnizam Basri.

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang

“Dia tidak perlukan jurulatih yang sentiasa menjerit memberi arahan kerana dia sangat berdedikasi. Azizul adalah antara pelumba yang paling awal hadir ke latihan dan sangat teliti dengan rutin pemanas badan serta regangan,” kata Beasley yang membimbing Azizul selama hampir dua dekad.

Tambah Beasley, walaupun Azizul akan membahagikan masanya antara Malaysia dan Melbourne – tempat beliau menyambung pengajian dan menetap bersama keluarganya, ia bukan halangan besar kerana data latihan kini boleh dipantau dari jauh melalui peralatan canggih seperti ‘power meter’ pada basikal.

“Malah dia boleh berlatih dengan atlet dari Victorian Institute of Sport atau pelumba elit lain di Melbourne. Apa yang penting, pelan latihannya akan terus disediakan seperti biasa, dan akan dilaksanakan oleh Harnizam apabila dia di Malaysia,” jelas Beasley lagi.

Pengarah Teknikal Program Berbasikal Kebangsaan, John Beasley

Untuk menyokong hasrat Azizul meneruskan perlumbaan sebagai pelumba bebas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) telah meluluskan geran berjumlah RM200,000 bagi membantu kos latihan, peralatan dan pertandingan untuk tempoh dua tahun.

Sebagai balasan, ikon lumba basikal negara itu dijangka kembali mewakili Malaysia dalam temasya besar seperti Sukan Asia di Nagoya tahun hadapan – membuktikan bahawa semangat juangnya masih menyala, walaupun usia bukan lagi di pihaknya.