JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjaya memenangi sembilan anugerah utama dan satu anugerah penyokong di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2022 anjuran Malaysia Football League (MFL).
JDT menggondol anugerah Pasukan Terbaik, Pertahanan Terbaik (Shahrul Saad), Pemain Tengah Terbaik (Afiq Fazail), Pemain Muda Terbaik (Arif Aiman), Penyerang Terbaik (Arif Aiman), Pemain Import Terbaik (Bergson Da Silva), Penjaring Terbanyak Liga Super (Bergson Da Silva) dan Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Perdana (K. Daryl Sham) untuk kategori utama.
Selain itu, tujuh pemain Harimau Selatan disenaraikan dalam Fans XI iaitu kategori Kesebelasan Terbaik selepas mereka mendominasi Liga Malaysia dengan kejuaraan ‘Quadruple’.
SOUTHERN TIGERS WIN IN NINE CATEGORIES AT 2022 NATIONAL FOOTBALL AWARDS
Johor Darul Ta'zim FC (JDT) picked up nine accolades at the 2022 National Football Awards.
[1/4] pic.twitter.com/ztjxyqQXbh
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) December 15, 2022
Arif Aiman Hanapi adalah pemenang terbesar apabila memenangi tiga anugerah iaitu Pemain Muda Terbaik, Penyerang Terbaik dan anugerah utama Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut selepas memenanginya pada ABK 2021.
Bekas pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik dengan Ahmad Syihan Hazmi pula dinamakan sebagai Penjaga Gol Terbaik selain Darren Lok memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super.
Penyerang Kuching City FC, Abu Kamara membawa pulang Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier manakala gol jaringan Mukhairi Ajmal ketika Selangor berdepan Melaka United dipilih sebagai Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan pasukan PJ City FC memenangi Anugerah Fair Play.
Empat lagi pemain, Syihan Hazmi, Azam Azmi Murad, Manuel Ott dan Faisal Halim menyertai tujuh pemain JDT, Shahrul Saad, Shane Lowry, Corbin Ong, Arif Aiman, Afiq Fazail, Leandro Velasquez dan Bergson Da Silva dalam kategori Fans XI, Kesebelasan Terbaik pilihan penyokong untuk musim 2022.
Anugerah yang bersiaran secara virtual itu menyaksikan 16 kategori dipertandingkan dengan undian dijalankan secara penuh oleh pihak media dan penyokong yang memilih pemain terbaik sebagai penghargaan kepada usaha pemain sepanjang musim.