KINI tumpuan pastinya terarah kepada rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain warisan negara, selain denda besar yang dikenakan kepada persatuan serta pemain terbabit.
Namun, dalam situasi getir ini, pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski, perlu segera mencanang percaturan baharu tanpa kelibat tujuh pemain berstatus warisan. Bekas penyerang prolifik negara, Safee Sali, bagaimanapun optimis skuad Harimau Malaya masih berupaya menurunkan barisan mantap menjelang aksi kelayakan Piala Asia menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober depan.
“Tanpa tujuh pemain tersebut, kita sebenarnya sudah memiliki barisan seimbang dan mampu melaksanakan tugas. Cuma mereka perlu meningkatkan permainan untuk kembali menjadi sandaran utama pasukan,” kata Safee yang melihat nama-nama seperti Arif Aiman, Faisal Halim, dan Endrick Dos Santos mampu menjadi tunjang utama Cklamovski.

Tujuh pemain naturalisasi baharu yang terkait isu penggantungan FIFA terlibat dalam dua perlawanan antarabangsa sebelum ini.
Keyakinan itu ada asasnya kerana mpat daripada lima pemain yang disebut Safee bersama tonggak lain seperti Dion Cools dan Dominic Tan pernah membentuk kekuatan utama skuad kendalian Kim Pan Gon di Piala Asia 2023 di Doha. Pengalaman di pentas besar itulah yang diyakini dapat memberi kekuatan tambahan.
Malah, Safee menegaskan skuad kebangsaan masih memiliki ramuan terbaik untuk tampil berdaya saing walaupun beraksi tanpa tujuh pemain warisan tersebut dan apa yang penting ialah keyakinan diri setiap pemain untuk mengekalkan momentum positif.
Seandainya rayuan kepada FIFA tidak memihak FAM, Safee tetap percaya skuad negara mampu meraih keputusan baik dalam aksi terakhir kelayakan menentang Vietnam pada 31 Mac depan di Hanoi.
“Yang penting adalah pemain yakin dengan kemampuan sendiri kerana kita tetap mampu menewaskan Vietnam jika tahap keyakinan pemain berada di tahap terbaik,” katanya yang turut membarisi skuad negara ketika menewaskan Vietnam 4-1 dalam aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2014 di Hanoi.
FIFA pada 26 September lalu menghukum FAM dengan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta), manakala tujuh pemain- Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bolasepak serta denda CHF2,000 (RM10,560) setiap seorang.