ARVID de Kleijn mengganas di Kepala Batas apabila mencuri perhatian dengan kemenangan dramatik Peringkat 2 Le Tour de Langkawi 2025 (LTdL25), sekali gus mencabar dominasi Raja Pecut, Matteo Malucelli.
Pelumba Tudor Cycling Team itu meluru bak peluru dari tengah kelompok sebelum memintas Malucelli di garisan penamat, meninggalkan bintang XDS-Astana itu terlopong selepas memecut terlalu awal.
Kemenangan penuh bergaya itu menambah panas perseteruan dua Raja Pecut LTdL – Malucelli (2024) dan De Kleijn (2023) – yang kini ibarat perang terbuka di atas jalan raya Malaysia.

Pecutan akhir beramai-ramai pada garisan penamat di Kepala Batas.
Malucelli bagaimanapun, masih mengekalkan jersi hijau pendahulu keseluruhan dan jersi oren Raja Pecut, namun hanya mendahului dua saat dan tiga mata memisahkan mereka.
Wakil negara tidak ketinggalan mencuri tumpuan apabila Wan Abdul Rahman Hamdan (TSG) berada di tangga keenam, sementara rakan sepasukan Muhammad Nur Aiman Rosli mengekalkan status Pelumba Asia Terbaik.
De Kleijn yang digelar “Little Gorilla” melaungkan amaran awal dengan berkata kemenangan itu bukti dia kembali ke prestasi sebenar, malah berjanji mahu terus menggempur baki peringkat landai.

Pemenang jersi selepas Peringkat 2 LTdL 2025.
“Ini kemenangan pasukan, rakan-rakan bantu saya masuk ke posisi terbaik dan saya hanya perlu tamatkan kerja dengan sempurna,” katanya sambil tersenyum puas selepas mengutip kemenangan kelimanya di LTdL.
Pertarungan semakin panas esok apabila peloton memasuki Peringkat 3 dari Gerik (Perak) ke Pasir Puteh (Kelantan) dengan tiga zon pendakian keras termasuk Puncak Titiwangsa, yang dijangka menguji sejauh mana Malucelli mampu mempertahankan takhtanya.