PEMAIN tengah Johor Darul Takzim (JDT), Mohammad Syamer Kutty Abba ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyokong kerana sentiasa berada di belakang pasukan kebangsaan.
Tambahnya, ia adalah langkah pertama untuk mencapai kejayaan yang lebih bermakna selepas membawa Malaysia ke pentas Piala Asia 2023.
Pemain yang berusia 25 tahun itu menganggap perjalanannya masih jauh, dan ia merupakan satu pengalaman berharga buatnya untuk sentiasa memperbaiki prestasi dan melakar kemenangan pada masa hadapan.
“Alhamdulillah, saya memang seronok, segala puji hanya bagi Allah. Saya nak ucapkan terima kasih kepada penyokong, ini adalah faktor utama kejayaan kami.
“Saya baru berumur 25 tahun, masih panjang lagi perjalanan, selama ini dekat Asia Tenggara sahaja, untuk saya kita harus melangkah lebih jauh, jadi ini adalah langkah lebih baik, untuk kita mempersembahkan permainan lebih baik, yang lebih berkualiti,” kongsinya kepada media.
Bagaimanapun, etika Bangladesh berupaya mendapatkan gol penyamaan yang dijaringkan M. Ibrahim, Syamer menyifatkan pasukan kebangsaan agak terkejut dengan kebangkitan yang dipamerkan anak buah Javier Cabrera.
“Kita tahu Bangladesh adalah lawan yang baik, tetapi kita tahu kita kena mendominasi perlawanan dan apabila mereka menyamakan kedudukan, kita berasa sedikit tekanan namun dapat mendahului 2-1 sebelum separuh masa. Jadi ia berikan motivasi kepada kami beraksi pada separuh masa kedua.
“Corak kita sedang berubah, dari segi intensiti dan sebagainya, kita dah rasai cara sebegini di Johor, apabila kita ketahui Kim Pan-gon (ketua jurulatih) ingin membawa cara mendominasi perlawanan, kami amat gembira untuk merealisasikannya,” tambahnya.
Pasukan kebangsaan mencatat sejarah menamatkan kemarau 42 tahun untuk layak secara merit dengan menempatkan pasukan kebangsaan dalam kelompok bersama 24 gergasi Asia yang akan berentap dalam kempen Piala Asia 2023.