PERLAWANAN akhir Piala FA antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu sudah pasti menjanjikan aksi sengit antara kedua-dua pasukan yang sedang berada di kemuncak prestasi.
Ianya pasti satu aksi dengan peratusan 50-50 bagi kedua-dua dan keadaan padang pada hari perlawanan akan menjadi penentu siapakah yang bakal muncul sebagai juara dan merebut tiket ke Piala AFC musim hadapan.
Ini adalah pendapat yang dilemparkan oleh Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Lembah Klang (KPBJLK), Faiez Abdullah dalam sesi temubual bersama FLASH SUKAN menjelang aksi final ini.

Ahli-ahli jawatankuasa KPBJLK
Faiez atau lebih mesra disapa Chief sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada final nanti dengan kehadiran lebih 300 ahli kelab yang berpusat di Lembah Klang itu.
“Perlawanan pada Sabtu ini sudah pasti akan menjadi satu aksi klasik dengan peluang seimbang buat kedua-dua pasukan. JDT lebih berpengalaman bermain di final tetapi Terengganu kini berada pada momentum yang terbaik.
“Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi penentu siapakah yang bakal bergelar pemenang kerana kedua-dua pasukan ini sering bermain di padang yang cantik di stadium masing-masing. Siapa yang cepat mengadaptasi keadaan padang berpeluang untuk muncul juara,” kongsinya.

Sekitar majlis tayangan big screen perlawanan melibatkan JDT
KPBJLK akan hadir dengan lebih 300 ahli kelab dan mereka akan memasang kain rentang bagi memastikan kehadiran mereka disedari sekaligus menaikkan lagi semangat para pemain JDT untuk menjulang Piala FA selepas kali terakhir melakukannya pada 2016.
Kelab penyokong ini ditubuhkan sebagai platform buat anak-anak Johor di Lembah Klang untuk sama-sama berkumpul dan berkongsi minat dan semangat yang sama dalam menyokong pasukan JDT sama ada di Lembah Klang atau dimanapun Harimau Selatan beraksi.