PEMILIK Johor Darul Ta’zim FC , Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan bekas Pemain Terbaik Dunia, Luis Figo.

Pertemuan itu turut dikongsikan melalui hantaran laman media sosial Johor Southern Tigers.

Tunku Mahkota Ismail mengadakan pertemuan dengan legenda Portugal, Luis Figo di Madrid. (Sumber Gambar: Johor Sourthern Tigers)

Menurut hantaran itu, beberapa perkara berkaitan perkembangan dan pembangunan bola sepak dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

Bekas pemain Real Madrid itu merupakan penasihat bola sepak kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) selepas menerima jawatan itu pada Oktober 2017.


Figo juga juga merupakan duta kepada badan induk bola sepak Eropah itu sekaligus statusnya sesuai dengan perkara yang dibincangkan antara Tunku Mahkota Ismail dan Figo sendiri.

Tunku Ismail turut menjemput bekas pemain Real Madrid itu untuk datang ke Johor Bahru untuk berbincang dengan lebih mendalam. (Sumber Gambar: Johor Sourthern Tigers)

Tunku Mahkota Ismail juga turut menjemput Figo untuk mengadakan lawatan ke Johor Bahru, Johor untuk berbincang dengan lebih mendalam mengenai perkembangan dan pembangunan bola sepak yang boleh memberi manfaat kepada bola sepak di Malaysia.

Pertemuan ini dipercayai berlaku beberapa jam sebelum perlawanan El Clasico membabitkan Real Madrid dan Barcelona, kedua-duanya bekas kelab Figo di Stadium Santiago Bernabeu.