JURULATIH pasukan kebangsaan Indonesia B-23, Gerald Vanenburg, menyatakan bahawa beliau hanya mahu memberi tumpuan kepada perlawanan menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN B-23 2025, yang akan berlangsung pada Isnin ini. Vanenburg belum mahu memikirkan siapa lawan yang akan dihadapi di separuh akhir nanti.
Ketika ini, Indonesia berada di kedudukan teratas Kumpulan A dengan enam mata hasil daripada dua kemenangan, selepas menewaskan Filipina 1-0 dalam perlawanan kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta semalam. Namun begitu, kedudukan tersebut masih belum selamat kerana mereka masih boleh tersingkir sekiranya tewas kepada Malaysia.
“Perlawanan menentang Malaysia menjadi fokus utama kami. Ini adalah perlawanan yang penting, terutamanya untuk penyokong Indonesia. Kami belum mahu memikirkan pasukan seperti Vietnam atau Thailand,” kata Vanenburg dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno.

JURULATIH pasukan kebangsaan Indonesia B-23, Gerald Vanenburg.
“Mungkin kedengaran pelik, tetapi sebenarnya saya pun tidak faham sepenuhnya peraturannya (sama ada guna head-to-head atau beza jaringan). Saya cuma mahu pasukan main gaya saya, jangan fikirkan perkara lain, dan menangi perlawanan seterusnya (menentang Malaysia),” kata Gerald Vanenburg.
“Selepas itu baru kita lihat sama ada itu sudah cukup. Kerana jika anda mula berjudi dan memikirkan pelbagai faktor lain, hasilnya tidak akan baik. Kami hanya perlu fokus untuk menang perlawanan yang ada depan mata,” tambahnya.
Beliau turut menyatakan bahawa perlawanan menentang Malaysia bukan sekadar tentang mata, tetapi juga soal maruah antara dua negara lawan tradisional. “Ini juga bakal menjadi perlawanan penting untuk para penyokong, jadi kami akan fokus di situ dulu,” ujarnya lagi.
Bercakap mengenai kemenangan ke atas Filipina, jurulatih dari Belanda itu memuji persembahan anak-anak buahnya. “Keseluruhan pasukan bermain dengan sangat baik. Semua pemain memberikan segalanya. Pemain menunjukkan keyakinan, dan pihak lawan juga bermain dengan baik,” ujarnya lagi.
Indonesia kini hanya memerlukan keputusan seri manakala Malaysia wajib menang untuk menghidupkan peluang layak ke separuh akhir.