PEMAIN beregu lelaki negara, Muhammada Haikal Nazri kini memberi fokus penuh kepada pembentukan gandingan baharu bersama Bryan Jeremy Goonting dalam usaha mencipta impak di pentas antarabangsa.
Walaupun spekulasi mengenai statusnya bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) masih berlegar, Haikal memilih untuk tidak memikirkan perkara tersebut buat masa ini dan menumpukan sepenuhnya kepada prestasi di gelanggang.
Menurutnya, mereka sudah memulakan sesi latihan bersama dan menunjukkan perkembangan positif dari segi keserasian walaupun masih di peringkat awal.

Bryan Jeremy Goonting
“Keserasian semakin baik walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama dari segi rotation dan komunikasi di gelanggang,” katanya.
Haikal mengakui proses menyesuaikan diri dengan pasangan baharu bukan sesuatu yang mudah, namun percaya gandingan itu mampu berkembang sekiranya diberi masa dan peluang.
Sebagai sasaran jangka pendek, beliau meletakkan misi untuk membawa gandingan tersebut menembusi kelompok 30 terbaik dunia menjelang penghujung musim ini.
Dalam masa sama, pasangan itu dijangka membuat penampilan sulung dalam pusingan kelayakan Terbuka Thailand pada Mei ini, sekali gus menjadi pentas pertama untuk menguji kemampuan mereka sebagai gandingan baharu.
Sementara itu, Presiden BAM, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebelum ini memberi peringatan bahawa pemain yang meninggalkan skuad kebangsaan tanpa alasan kukuh boleh dikenakan tindakan termasuk pampasan atau larangan pendaftaran
Dengan fokus kini terarah kepada prestasi, Haikal dilihat mahu membuktikan kemampuannya di gelanggang tanpa terpalit dengan spekulasi di luar.