RASA teruja yang sama seperti ketika pulang membawa pingat gangsa Sukan Olimpik tahun lalu.
Demikian perasaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik sebaik tiba Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang Jam 10.30 pagi Khamis.
Pasangan yang berada di ranking lima dunia itu disambut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, barisan kepimpinan tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan peminat badminton negara yang tiba di KLIA sejak jam 8 pagi lagi.
Aaron-Wooi Yik menamatkan penantian selama 45 tahun apabila menjadi pemain pertama negara muncul juara dunia sejak kejohanan diperkenalkan pada 1977.
Mereka yang digandingkan pada 2017, menundukkan beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 21-19, 21-14 dalam aksi final yang berlangsung, Ahad lalu.