KANCAH sepak takraw negara melangkah setapak lagi ke hadapan dengan perasmian Kompleks Akademik Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) di bawah naungan Akademi Sepak Takraw Kebangsaan (ASPKN).
Presiden Persekutuan Sepak Takraw Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan menzahirkan rasa syukur atas kelulusan dana berjuta-juta ringgit daripada pihak kerajaan bersama dana tambahan sebanyak RM 3 Juta.
“Satu usaha yang saya rasa berbaloi dengan apa yang kita capai sekarang ini dan banyak lagi perancangan yang kita nak buat ini adalah khusus untuk pembangunan,” kata beliau.
Pelancaran ini menjadikan Malaysia mempunyai akademi sepak takraw pertama di dunia dengan kompleks yang lengkap.
“Bila kita sentuh fasiliti komuniti sepak takraw dunia, inilah yang pertama, akademi yang lengkap, yang ada kemudahan-kemudahan yang menjurus kepada sukan sepak takraw.
“Kalau ada pun negara yang ada pun, tapi itu bukan di bawah naungan kerajaan, itu adalah daripada pihak swasta dan tak selengkap ini,” tambah beliau.
Atlet muda yang berada dalam program NSTDP (National Sepak Takraw Development Program) akan di bawa ke pusat ini dan akan wujud kejohanan di peringkat kebangsaan bagi semua atlet NSTDP.
Dalam pada itu, majlis ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh.
Pembukaan akademi ini memberi peluang kepada generasi akan datang untuk terus memartabatkan permainan warisan ini melalui kemudahan yang paling lengkap dan sistematik di peringkat dunia.
Sumber Gambar: Facebook Persatuan Sepaktakraw Malaysia