KETIADAAN pemain profesional negara, Lee Zii Jia di Akademi Badminton Malaysia (ABM) hari ini disahkan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Kenneth Jonassen.
Menurut Jonassen, beliau sememangnya menjangkakan Zii Jia tidak dapat menghadiri sesi latihan selepas pemain itu menarik diri lebih awal bagi memberi tumpuan kepada proses pemulihan kecederaan buku lali.
Katanya, keutamaan utama ketika ini adalah memastikan pemain berkenaan pulih sepenuhnya sebelum kembali menyertai latihan bersama pasukan menjelang Piala Thomas.
“Perkara paling penting sekarang adalah dia pulih sepenuhnya supaya boleh fokus kepada pemulihan dan bersedia untuk kembali,” katanya ketika ditemui di ABM.
Jonassen menjelaskan perancangan asal pasukan masih berjalan seperti biasa, dengan harapan Zii Jia dapat menyertai beberapa sesi latihan minggu depan bagi menilai tahap kecergasannya.
Bagaimanapun, beliau mengakui situasi itu menjadi semakin mencabar memandangkan tarikh akhir pencalonan skuad semakin hampir.
“Kita berharap dia dapat bersama pasukan beberapa kali minggu depan, tetapi kita semakin hampir dengan tarikh akhir penting iaitu 10 April untuk pencalonan akhir pasukan,” katanya.
Tambahnya, selepas tarikh tersebut, sebarang perubahan dalam senarai pemain akan menjadi lebih rumit kerana tertakluk kepada ranking dunia serta peraturan kejohanan.
“Selepas pencalonan akhir, ia menjadi lebih kompleks kerana kita tidak boleh menggantikan pemain sesuka hati, semuanya bergantung kepada ranking dunia dan peraturan kejohanan,” jelasnya.
Jonassen turut mengakui situasi itu memberi tekanan kepada pasukan yang memerlukan gambaran jelas mengenai tahap kecergasan Zii Jia sebelum membuat keputusan muktamad.
Beliau menegaskan minggu depan menjadi tempoh penting untuk menilai tahap pemulihan dan kesediaan pemain itu sama ada mampu kembali beraksi atau sebaliknya.