Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei mengetuai kemaraan wakil Malaysia selepas berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC), hari ini.
Pasangan ranking keempat dunia itu mara ke kelompok 16 terbaik selepas menewaskan gandingan Jepun, Haruki Kawabe-Kokona Ishikawa 21-10, 21-19 di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China.
Pada pusingan seterusnya, Tang Jie-Ee Wei dijadual berdepan sama ada pasangan Thailand, Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsaard atau wakil India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.
Sementara itu, pasangan negara ranking ke-34 dunia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas menundukkan wakil India, Ashith Surya-Amrutha Pramuthesh 21-16, 21-15.
Mereka dijadual bertemu sama ada pasangan China, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui atau wakil Taiwan, Wu Guan Xun-Lee Chia Hsin bagi perebutan tempat ke suku akhir.
Turut mencatat kemenangan adalah pasangan ranking ke-11 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang menewaskan wakil India, Rohan Kapoor-Ruthvika Shivani Gadde 21-13, 21-19.
Gandingan tersebut akan berdepan sama ada pasangan Bangladesh, Al-Amin Jumar-Urmi Akter atau wakil Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui dalam aksi seterusnya.
Dalam perkembangan lain, beregu wanita muda negara, Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan turut mencuri tumpuan apabila berjaya melayakkan diri ke undian utama selepas mengungguli Kumpulan D di pusingan kelayakan.
Mereka mencatat kemenangan ke atas pasangan Macau, Ng Weng Chi-Pui Chi Wa 21-11, 21-10 sebelum menewaskan beregu Thailand, Phattharin Aiamvareesrisakul-Sarisa Janpeng 21-9, 21-13.