Malaysia secara rasmi melancarkan logo, maskot dan tema rasmi Sukan SEA Ke-34 serta Sukan Para ASEAN Ke-14 2027 sebagai identiti temasya yang bakal berlangsung di negara ini tahun depan.

Majlis pelancaran yang berlangsung di IOI City Mall, Putrajaya itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohamed Taufiq Johari menerusi Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC) 2027.

Maskot rasmi yang diberi nama ‘Tuah’ diperkenalkan sebagai simbol semangat temasya dengan membawa nilai kejayaan, kecemerlangan, disiplin, ketekunan, kesetiaan dan perpaduan.

Maskot rasmi Sukan SEA ke-34 iaitu Tuah.

Reka bentuk maskot itu diinspirasikan daripada imej seorang wira moden yang dinamik, yakin dan mesra, sekali gus mencerminkan generasi baharu Malaysia yang berani menghadapi cabaran serta menghargai kepelbagaian sebagai kekuatan.

Turut diperkenalkan ialah tema rasmi “Raikan Perpaduan” (Celebrating Unity) yang dipilih bagi menjadi tunjang identiti Malaysia 2027, selari dengan aspirasi menjadikan perpaduan sebagai kekuatan utama negara dan rantau ASEAN.

Logo rasmi temasya pula direka berasaskan aspirasi Malaysia untuk menyatukan negara-negara ASEAN menerusi semangat kesukanan, dengan setiap elemen visual membawa simbolik keharmonian, kepelbagaian budaya dan kemajuan negara.

Menurut Dr. Mohamed Taufiq, tema yang diperkenalkan bukan sekadar slogan, malah menjadi seruan kepada semua atlet untuk melangkaui batas kemampuan masing-masing dalam memburu kejayaan.

“Tema kali ini akan menjadi cerminan semangat perpaduan yang berdaya tahan dan memiliki kesinambungan masa depan sukan rantau ini.

“Ia juga akan menjadi pencetus semangat kepada semua atlet untuk melangkaui had kemampuan mereka dalam mencapai kejayaan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan logo dan maskot itu sebagai lambang keberanian, inovasi serta aspirasi Malaysia untuk menganjurkan temasya bertaraf antarabangsa yang inklusif dan progresif.

Pelancaran identiti rasmi itu menjadi detik penting dalam persiapan Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA yang dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027, sebelum disusuli Sukan Para ASEAN pada 17 hingga 23 Oktober 2027.