IMPIAN skuad B-23 negara untuk mara ke Piala Asia B-23 2026 musnah apabila tewas 1-2 kepada Thailand dalam aksi penentuan di Stadium Thammasat, Selasa. Kekalahan itu sekali gus menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan F di tangga ketiga dengan hanya tiga mata.
Harimau Muda bermula garang apabila hampir membuka jaringan menerusi rembatan kencang Aliff Izwan, namun percubaan sayap lincah itu hanya singgah di tepi jaring. Sebaliknya, tuan rumah yang terlebih dahulu menemui sentuhan gol pada minit ke-33 apabila bintang Muangthong United, Kakana Khamyok menyudahkan gerakan cantik tanpa kawalan.
Malaysia bagaimanapun enggan mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan sebelum rehat menerusi sepakan voli padu Aysar Hadi hasil sepakan penjuru pada minit ke-40, menyalakan semula harapan skuad kendalian Nafuzi Zain. Separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan 1-1.
Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling mencari jaringan kemenangan, namun Thailand tampak lebih dominan dalam menguasai permainan. Ketangkasan penjaga gol negara, Zulhilmi Saarani menjadi penyelamat apabila beberapa kali menafikan asakan berbahaya lawan termasuk rembatan deras Yotsakorn Burapha.
Namun, segalanya musnah di penghujung perlawanan apabila Kakana sekali lagi muncul wira tuan rumah dengan jaringan masa tambahan yang memahat kedukaan buat kem Malaysia. Gol itu memastikan Thailand mengesahkan tiket automatik ke Piala Asia B-23 dengan tujuh mata.
Bagi Malaysia, keputusan ini menutup peluang untuk layak ke pentas benua, sekali gus menangguhkan hasrat skuad muda negara untuk kembali mewarnai saingan elit Asia selepas kali terakhir beraksi pada edisi lalu.