LEONG Jun Hao mengakui sudah melakukan beberapa pembetulan dalam corak permainannya namun perubahan ketara masih belum menyerlah sehingga tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis 2025, semalam.

Pemain negara itu tewas kepada juara dunia dua kali dari Denmark, Viktor Axelsen 16-21, 15-21 dalam aksi 43 minit di Glaz Arena.

“Saya sudah cuba beberapa perkara untuk ubah gaya permainan, tetapi belum nampak hasil yang jelas,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Begitupun, dia berasakan berada pada landasan yang betul namun perlu lebih konsisten dalam menyesuaikan strategi di tengah permainan.

“Sebenarnya pada permainan kedua, saya berada di tengah-tengah dan tidak terlalu berfikir semasa cuba membuatnya sukar kerana dia mendapat sudut serangan yang lebih baik,” jelasnya.

Jun Hao turut mengakui faktor pengalaman dan kekuatan fizikal masih menjadi jurang utama antara dirinya dan pemain elit dunia seperti Axelsen.

“Mungkin saya perlu lebih kuat dan bermula dalam keadaan terbaik supaya boleh terus membina permainan saya ke tahap lebih tinggi,” katanya, yang akan bersaing di Terbuka Jerman, minggu hadapan.