KETUA jurulatih skuad bola sepak wanita negara, Joel Cornelli meluahkan rasa puas hati terhadap peningkatan ditampilkan pemain-pemain Malayan Tigress sepanjang kem latihan pusat di Dubai, sambil menegaskan keserasian taktikal yang semakin baik menjadi kunci utama menjelang kempen kelayakan Piala Asia Wanita 2026 hujung bulan ini.

“Saya baru bersama pasukan lebih kurang 45 hari, tetapi saya lihat para pemain semakin memahami falsafah dan model permainan yang kami terapkan. Itu sesuatu yang sangat memberi keyakinan,” kata Cornelli selepas perlawanan.

Beliau turut mengakui tempoh persediaan yang singkat bukan penghalang buat pasukannya untuk bersaing di pentas Asia, asalkan setiap pemain menunjukkan komitmen penuh dan disiplin dalam latihan serta aksi perlawanan.

“Kami perlu terus berkembang, baik secara individu mahupun sebagai satu pasukan. Apa yang saya gembira ialah mereka memberi 100 peratus untuk cuba melaksanakan apa yang kami latih. Ini bukan tugas mudah, lebih-lebih lagi bila berdepan pasukan-pasukan kuat nanti, tapi kami dalam landasan yang betul,” ujarnya.

Skuad Malayan Tigress sebelum ini mencatat dua kemenangan berturut-turut ke atas UAE dalam aksi persahabatan tertutup di Dubai – menang 3-1 dalam perlawanan pertama dan 2-0 dalam aksi kedua yang berlangsung malam tadi hasil jaringan Adrienna Zamzaihiri dan Farahiyah Ridzuan.

Dua perlawanan ini menjadi medan pemanas badan terakhir sebelum pasukan negara berlepas ke Dushanbe, Tajikistan bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia Wanita 2026 dari 29 Jun hingga 5 Julai depan.

foto:FAM