PERSATUAN Badminton Kuala Lumpur (KLBA) terus memperhebatkan inisiatif jangka panjang, iaitu Projek Jejak Juara yang dilancarkan pada 22 Ogos tahun lalu.

Menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWPKL) serta Yayasan RAPERA, rakan strategik Projek Jejak Juara, KLBA meraikan 300 pelajar pelajar golongan B40 yang merupakan sebahagian daripada peserta bagi Projek Jejak Juara di Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong Baru. 

Pelajar-pelajar ini menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM15,000 sebagai usaha untuk membantu mereka terus fokus dan berdaya saing dalam bidang akademik.

Jelas Presiden KLBA, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos, sumbangan ini merupakan salah satu perancangan yang terdapat dalam Projek Jejak Juara dimana KLBA serius mahu melahirkan pemain-pemain yang lebih berkualiti dan memperkasa program pembangunan.

“Matlamat KLBA tidak hanya ketika di gelanggang badminton semata mata, tetapi kami akan sentiasa berusaha untuk berada dekat dengan anda semua.

“Projek Jejak Juara yang kita lancarkan pada tahun lalu  dirangka untuk tempoh lima tahun dan mensasarkan pelajar-pelajar seawal usia 10 tahun di 292 buah sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Lumpur.

“Mewakili keluarga KLBA, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) yang sentiasa bersama sama kami untuk merealisasikan objektif Projek Jejak Juara,” jelasnya.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan JPWPKL, Puan Hajah Norhayati Ab Wahab.

Persatuan Badminton Kuala Lumpur ditubuhkan pada 1980 dan KLBA juga menjadi salah satu tunjang buat BAM dalam melahirkan bakat-bakat muda yang berkualiti seperti Wong Choong Hann yang kini menggalas tugas sebagai Pengarah Kejurulatihan BAM, Datuk Rashid Sidek, pemain beregu lelaki negara yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta Juara Beregu Lelaki Dunia 2022, Soh Wooi Yik dan pemenang pingat emas sukan Paralimpik Tokyo 2020 bagi acara badminton kelas SU5, Cheah Liek Hou.