JURULATIH skuad hoki lelaki Perak, S.Jagatheesan mahu mencipta sejarah tersendiri buat Perak untuk muncul sebagai pemenang kejuaraan hatrik Piala Tun Abdul Razak yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan.

Perak selaku juara bertahan akan turun dengan kombinasi pemain senior yang terdiri dari pemain kebangsaan serta beberapa pemain junior dan juga pemain remaja untuk memenangi kejuaraan kesembilan sejak kejohanan ini dipertandingkan.

Dia juga melihat cabaran utama akan datang daripada pasukan Johor dan Pahang yang dijangka mengekalkan barisan pemain mereka ketika Sukma 2022 baru-baru ini.

“Untuk kejohanan kali ini kami mensasarkan untuk layak ke final dan menjadi johan sekaligus melakukan kejuaraan hatrik yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan sebelum ini.

“Kami mengekalkan hampir 70 peratus pemain dari tahun lalu dengan kombinasi pemain senior dan pemain Sukma serta seorang penjaga gol muda berusia 16 tahun akan menggalas cabaran tahun ini. Di Perak, kami sentiasa memberi peluang kepada pemain muda untuk bermain dengan pemain senior bagi membentuk skuad yang mantap.

“Untuk kejohanan kali ini, kami menjangkakan saingan daripada pasukan Johor dan Pahang dengan kedua-dua negeri ini dijangka mengekalkan pemain dari skuad Sukma.

“Perak adalah pasukan yang digeruni dalam sukan hoki dan saya berasa bangga dan bertuah kerana dapat melatih para pemain ini yang tidak mendatangkan masalah buat saya sebagai jurulatih,” katanya dalam sidang media.

Perak akan memulakan saingan bertemu Johor pada Khamis dengan Jagatheesan mahukan kemenangan pada aksi sulung yang dijangka sengit tetapi dalam masa yang sama sedar akan kekuatan pasukan Johor yang dilabel sebagai pasukan yang meningkat naik.

Sementara itu juara bertahan kategori wanita, Kuala Lumpur juga optimis mereka mampu mempertahankan kejuaraan walaupun dibarisi lima pemain baharu dan tidak akan mengambil mudah semua lawan meskipun mempunyai kelebihan beraksi sebagai tuan rumah.

“Kami mensasarkan tiga tempat teratas tetapi pada masa yang sama masih memasang impian untuk mengekalkan kejuaraan. Kami membawa masuk lima pemain baharu dan mempunyai pasukan yang agak kuat untuk tahun ini.

“Dalam aksi kumpulan, kami menjangkakan Melaka adalah pasukan yang agak kuat namun saya mempunyai keyakinan penuh kepada pemain dan mahu kekalkan momentum yang disasarkan tetapi kami tidak memandang rendah pihak lawan walaupun kami yakin dapat kekalkan kemenangan,” kata pengurus pasukan Datuk Hasry Sham Chasmen.

Ketika ditanya tentang penyertaan pasukan Singapura tahun ini kapten kedua-dua pasukan nyata menyambut baik tindakan ini kerana ianya boleh memberi pendedahan kepada pemain untuk menentang pasukan antarabangsa.

“Dengan kemasukan Singapura ianya bagus untuk pembangunan hoki di peringkat Asia Tenggara dia ianya juga dapat memberi pendedahan kepada pemain di kejohanan ini untuk menentang pasukan bertaraf antarabangsa,” kata kapten Perak, Syed Syafiq Syed Cholan dan kapten Kuala Lumpur, Nur Syafiqah Mohd Zain.