SKUAD Malaysia B-17 gagal membaham Guam apabila sekadar seri 1-1 pada  aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-17 2023 sebentar tadi.

Anak buah Osmera Omaro gagal menyempurnakan peluang di hadapan gol skuad Guam itu terutama pada separuh masa pertama.

Papan markah di Stadium Pakansari akhirnya berubah selepas Qahir Dzakirin menjaringkan gol pada minit ke-73.

Hasrat negara untuk meraih tiga mata semakin sukar selepas Riku Ngeschekle Meyar menyamakan kedudukan m-84.

“Kita tahu ini adalah pemain muda. Sudah tentu mereka perlu belajar tetapi selain daripada aspek itu, ini adalah perlawanan yang bagi saya memalukan pemain Malaysia.

“Permainan yang saya tidak boleh terima, juga untuk peminat bola sepak Malaysia. Tetapi apa pun yang kita tahu pemain ini masih muda, mereka perlu belajar.

“Tetapi persembahan ini tidak boleh diterima dan kami memohon maaf kepada orang ramai di Malaysia atas persembahan itu,” kata Osmera selepas perlawanan.

Menurut format pertandingan, 10 juara kumpulan dan hanya lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia B-17 2023.

Peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir tampak sukar namun harapan masih ada lagi dengan syarat perlu menewaskan UAE dan Indonesia selepas ini.