‘SIMPLE and nice’… ibu kepada legenda skuasy dunia, Datuk Nicol David mengajak ibu bapa terus memberi galakan kepada anak-anak mereka kerana dengan sokongan itulah membentuk keyakinan dalam diri kanak-kanak.

Ann Marie David berkata, sebagai ibu bapa, mengharungi perjalanan hidup bersama anak adalah satu pengalaman yang amat berharga.

“Kami bersyukur dengan bakat yang dikurniakan kepada Nicol, kami gembira mengharungi perjalanannya (sebagai atlet), dan saya menyeru kepada ibu bapa di luar sana, terus berikan galakan kepada anak-anak anda, tidak kira menang atau tewas, itu bukan masalah kerana itu adalah perjalanan yang baik dalam kehidupan,” kata Ann Marie, selepas beliau dan suami Desmond David dinobat sebagai penerima Anugerah Khas, sempena Anugerah Sukan Negara (ASN) 2022.

Selepas Datuk Nicol David menaiki pentas menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan sebanyak 8 kali, giliran ibu bapanya menerima pengiktirafan pula.

Senyuman tidak lekang dari wajah keibuan yang membesarkan seorang juara dunia, pemain nombor satu dunia dan legenda sukan yang dihormati di seluruh dunia ini.

Prinsip hidup yang sama dipegang Desmond, yang menganggap sokongan ibu bapa menjadi faktor kuat dalam proses anaknya bergelar atlet berjaya di persada dunia.

“Setakat apa yang difikirkan adalah kami nak anak kami buat apa yang mereka mahu dan suka sepanjang hidup mereka.

“Jadi segala keputusan yang mereka buat, kami sebagai ibu bapa akan beri sokongan penuh kerana bagi saya tiada apa yang lebih besar dari sokongan yang boleh kami berikan,” katanya.

Meskipun sudah bersara dari Sukan Skuasy, Datuk Nicol David bergiat aktif berkempen dalam usaha membida skuasy disenaraikan ke Sukan Olimpik.

Desmond mengakui, langsung tidak menyangka peranan dia dan isteri dalam membesar  dan mendidik Nicol, diiktiraf dan diberikan penghargaan sedemikian rupa, apatah lagi selepas Nicol bersara.

Dalam masa yang sama, Desmond berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) yang memberikan anugerah itu kepada dirinya dan isteri selain turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan sepanjang karier Nicol.

Zaman bergelar pemain… Datuk Nicol David menjadi idola dan menerima penghormatan di seluruh dunia. Bukan hanya lincah di gelanggang, malah menjadi duta jenama yang disenagi penaja-penaja.

“Anugerah ini satu yang besar dan langsung tidak kami sangka akan dapat penghargaan seperti ini sepanjang hidup.

“Kami juga dalam masa terharu apabila jasa kami dihargai oleh pihak MSN yang bersetuju untuk beri anugerah ini dan kami sangat gembira untuk menerimanya,” ujarnya.

Untuk rekod, Nicol pernah lapan kali dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

Kali pertama bekas ratu skuasy negara itu dinobatkan pada 1999, di susuli tahun 2002, 2005 hingga 2010, dan 2013 hingga 2014.