KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) mahu memberi mesej jelas bahawa budaya buli mahupun gurauan melampau tidak boleh diterima kerana bercanggah dengan nilai pendidikan.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, insiden di IKBN Miri membuktikan bahawa tindakan pantas perlu diambil agar pelajar faham gurauan sebegitu boleh membawa bahaya.
“Walaupun dianggap gurauan, KBS tidak boleh kompromi kerana institusi pendidikan mesti kekal selamat, berintegriti dan membina sahsiah belia,” katanya pada sidang media di Menara KBS di Putrajaya, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi mesej jelas, bahawa KBS tidak berkompromi dengan segala bentuk buli mahupun dianggap gurauan. | FOTO KBS
Beliau menjelaskan siasatan khas KBS tetap dijalankan walaupun polis mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA, kerana kementerian mahu menghantar mesej tegas kepada semua pelajar.
Laporan perubatan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan fizikal tetapi terkesan secara emosi, justeru semua pihak perlu sedar gurauan boleh meninggalkan trauma.
Lembaga Tatatertib Pelajar IKBN Miri menggantung tujuh pelajar terbabit selama seminggu, memotong elaun, mengenakan hukuman kerja amal, menahan keluar serta mewajibkan sesi kaunseling.
“Kami mahu ini jadi pengajaran dan penghalang kepada kes-kes lain, sebab itu tindakan segera diambil dalam tempoh empat hari selepas aduan dibuat,” jelas Hannah.