KENAIKAN harga tiket bagi aksi separuh akhir pertama Piala Hyundai ASEAN 2026 antara Harimau Malaya dan Vietnam Ahad ini mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penyokong yang mempersoalkan peningkatan harga berbanding perlawanan peringkat kumpulan.

Tiket kategori Terbuka untuk dewasa kini dijual pada harga RM50, meningkat RM20 berbanding RM30 yang dikenakan ketika aksi peringkat kumpulan sebelum ini di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Reaksi penyokong mula mendapat perhatian di media sosial apabila sebahagian mereka mempersoalkan kewajaran kenaikan hampir 70 peratus itu, terutama dengan perlawanan separuh akhir turut berlangsung di venue sama.

Ada yang berpandangan harga lebih tinggi mungkin lebih mudah diterima sekiranya perlawanan berkenaan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil yang mempunyai kapasiti lebih besar serta kemudahan yang lebih lengkap.

Bagaimanapun, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan harga tiket baharu itu ditetapkan selepas mengambil kira keseluruhan kos yang terlibat dalam penganjuran perlawanan berprofil tinggi berkenaan.

“Penetapan harga tiket dibuat dengan mengambil kira keseimbangan antara kos dan penganjuran dan usaha memastikan perlawanan pasukan kebangsaan terus dapat dihadiri penyokong Harimau Malaya.”

Menurut FAM, beberapa aspek diberi perhatian termasuk kos operasi dan keselamatan, pengurusan venue serta keperluan teknikal pertandingan.

“Kami berharap penyokong dapat memahami pertimbangan di sebalik penetapan harga tiket ini dan terus bersama pasukan kebangsaan Harimau Malaya bagi menghadapi aksi penting menentang Vietnam,” menurut kenyataan itu.

Selain tiket Terbuka dewasa pada harga RM50, FAM menetapkan RM70 bagi kategori Grandstand, manakala tiket VIP berharga RM100. Harga tiket Terbuka kanak-kanak pula kekal pada RM5.

FAM dalam kenyataannya turut berharap penyokong dapat memahami pertimbangan di sebalik struktur harga berkenaan dan terus memberikan sokongan kepada Harimau Malaya dalam usaha memburu kelebihan pada aksi pertama separuh akhir.

Pertembungan di Cheras itu dijangka berlangsung dalam suasana meriah dengan sokongan padu penyokong, terutama selepas skuad negara berjaya melangkah ke kelompok empat terbaik Piala Hyundai ASEAN 2026. Namun, persoalan mengenai harga tiket dijangka terus menjadi perhatian menjelang perlawanan penting menentang Vietnam.